Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu anak Numpang melancarkan ‘Teknologi Kek Lapis Sihat Sarawak’ sempena Perasmian Persidangan Kebangsaan Pemindahan Teknologi (CONFERTECH 2015) anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di salah sebuah hotel di Kuching pada 7 April. Turut kelihatan ialah Ketua Pengarah MARDI YBhg Dato’ Dr. Sharif Haron (dua dari kiri).
Kek Lapis Sihat Sarawak adalah hasil inovasi terkini MARDI yang menggunakan teknologi pemprosesan kek lapis yang lebih sihat dengan menggunakan bahan alternatif asas tumbuhan bagi menggantikan ramuan seperti gula, telur dan mentega. Hasil daripada teknologi tersebut, ramuan gula berjaya dikurangkan sehingga 100 peratus dan kek lapis yang dibangunkan menunjukkan penurunan nilai kalori dan gula.
Dalam pada itu, persidangan selama dua hari yang bertemakan ‘Inovasi Teknologi Pemangkin Pembangunan Agropreneur’ diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada agen pengembangan pertanian di Malaysia tentang penyelidikan dan inovasi terkini serta perkara-perkara yang melibatkan peningkatan kesedaran tentang kepentingan dan impak penyelidikan dan pembangunan dalam pelbagai aspek pemindahan teknologi.
Sebanyak 17 pembentangan kertas kerja dibincangkan pada persidangan tersebut dengan penyertaan seramai 260 orang yang terdiri daripada agensi-agensi pertanian dari seluruh negara.