Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK Sarawak) akan mengambil bahagian dalam Mini Karnival Sukan MAKSAK Malaysia di Johor Bahru yang melibat 4 acara sukan iaitu Olahraga, Tenpin Bowling, Petanque dan Sepak Takraw.
Mini Sukan Karnival berkenaan yang disertai oleh anggota-anggota kerajaan di peringkat kebangsaan akan diadakan pada 22 hingga 26 April 2015 di pelbagai gelanggang di Johor Bahru.
Sebelum kontinjen tersebut berlepas untuk kejohanan tersebut, pada 16 April 2015, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Merangkap Yang DiPertua MAKSAK Sarawak, YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani telah menyerahkan bendera negeri kepada kontinjen Sarawak seramai 85 orang yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah, Unit Perhubungan Awam dan Korporat Negeri, Jabatan Ketua Menteri merangkap Setiausaha Kehormat MAKSAK Sarawak, Encik Udin bin Bujang.
Setiausaha Kerajaan Negeri menyeru ahli-ahli kontinjen agar bermain dengan bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama negeri dan bertanding dengan semangat penuh kesukanan.