Pelancaran rasmi sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak telah disempurnakan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan Haji Satem di Dewan Suarah Bintulu pada 13 Jun 2015.
Ketua Menteri di dalam ucapannya menegaskan betapa pentingnya para belia untuk menguasai Bahasa Inggeris terutama dalam sektor pekerjaan.
Selain itu, para belia juga menurut beliau perlu melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti berfaedah dan sihat seperti bersukan, rekreasi dan sebagainya kerana ia dapat menghindarkan diri daripada terlibat dalam aktiviti-aktiviti tidak sihat.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri kini memberikan fokus bukan sahaja kepada faktor akademik sahaja tetapi kepada pendidikan teknikal dan kemahiran yang dapat memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja.
Terdahulu dalam ucapan Menteri Pembangunan Sosial, YB Tan Sri William Mawan Ikom berkata, pihak kerajaan melahirkan keyakinan golongan belia dapat memperlengkapkan diri dengan latihan teknikal untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di pelbagai sektor industri khususnya projek di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).