Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Hajah Rashidah Haji Bolhassan (berjaket putih) serta beberapa orang pegawai termasuk Pengurus Pasukan Encik Japri Bujang Masli (dua, kiri) memperkenalkan maskot kejohanan Sukan Perpustakaan Awam Se-Malaysia Ke-21 (SPASM) 2015 kepada pihak media setelah selesai mempengerusikan sidang media berkenaan kejohanan tersebut di Bilik Seminar Pustaka Negeri Sarawak di Kuching pada 3 Ogos.
Pustaka Negeri Sarawak sekali lagi menjadi tuan rumah bagi kejohanan tahun ini yang akan bermula dari 7 hingga 11 Ogos dengan tema ‘Segulai Sejalai’. Kali terakhir Pustaka Negeri Sarawak menjadi tuan rumah ialah pada 2003.
Seramai lebih 600 orang peserta daripada 13 buah kontinjen mewakili perpustakaan awam negeri seluruh Malaysia kecuali negeri Kedah menyertai kejohanan. Pasukan tuan rumah pula menghantar 67 orang peserta.
Sebanyak sembilan acara dipertandingkan iaitu bola tampar, bola jaring, badminton, sepak takraw, boling, golf, futsal, ping pong, dart dan permainan tradisional. Kesemua acara akan berlangsung di beberapa buah venue di antaranya UNIMAS, Riverside Superbowl, Kelab Golf Sarawak dan lain-lain venue.
Turut diadakan ialah seminar ‘Stand Up with Li Braries’ yang akan diadakan pada 7 Ogos bermula jam 3 petang bertempat di Galeri Pustaka Negeri Sarawak diikuti majlis perasmian pada sebelah malam oleh Menteri Pembangunan Sosial Sarawak YB Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching.
Manakala majlis penutupan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan Haji Satem pada malam 10 Ogos bertempat di Hotel Pullman, Kuching.
SPASM yang dianjurkan sejak 1984 bertujuan untuk menyediakan platform perkongsian ilmu pengetahuan serta mengeratkan hubungan di antara kakitangan dari semua perpustakaan awam di Malaysia dan memupuk semangat kekitaan dalam kerjasama memajukan institusi maklumat dan perpustakaan Malaysia.