Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan Haji Satem merasmikan Sarawak Career and Training Fair (SCaTFair) 2016 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 8 Mac.
Mengiringi beliau ialah (dari kiri) Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu Numpang, Menteri Kemajuan Tanah YB Tan Sri Dr. James Jemut Masing, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak YB Datu Haji Len Talif Salleh dan Menteri Muda Pembangunan Industri dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti YB Datuk Peter Nansian Ngusie.
Majlis perasmian SCatFair 2016 turut menyaksikan pelancaran Program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak atau GETS (Graduate Enhancement Training Sarawak) oleh Ketua Menteri.
GETS adalah satu usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan lulusan-lulusan universiti dan institusi pengajian tinggi yang sedang mencari pekerjaan supaya diberi latihan dan kemahiran lengkap bagi memenuhi keperluan pasaran industri semasa.
Lulusan yang terpilih akan mengikuti latihan selama 12 bulan yang dijalankan secara kerjasama dengan rakan kongsi dari pelbagai industri di Sarawak.
Menurut Ketua Menteri, GETS diharap dapat membantu lulusan diploma dan ijazah khususnya di kalangan belia mencari pekerjaan sebelum atau selepas tamat latihan.
SCaTFair 2016 anjuran Unit Pembangunan Tenaga Kerja Jabatan Ketua Menteri dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) berlangsung selama tiga hari bermula dari 8 hingga 10 Mac.
Selain pameran, aktiviti-aktiviti menarik juga diadakan, iaitu Living and Creative Skill, Sarawak Fashion Award, Youth Got Skill, Chan Drive Festival dan Mini Ramp Contest.