Ketua Sekretariat Skim Latihan 1Malaysia Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri Hajah Norashikin Datuk Haji Ismail dan Pengarah Unit Pembangunan Tenaga Kerja Jabatan Ketua Menteri Profesor Dr. Abdul Rahman Deen mengadakan sidang media berkenaan Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Negeri Sarawak 2016 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 Mac.
Program Temuduga Terbuka SL1M di bawah kelolaan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak melalui Unit Pembangunan Tenaga Kerja Jabatan Ketua Menteri akan diadakan seawal 7.30 pagi pada 26 dan 27 Mac 2016 bertempat di BCCK.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Haji Adenan Haji Satem pada 26 Mac.
Program berkenaan disasarkan kepada lepasan-lepasan ijazah institusi pengajian tinggi dan golongan yang mencari pekerjaan dengan tujuan untuk memberi peluang latihan dan pekerjaan serta meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka dalam mendapatkan pekerjaan yang sesuai.
Sebanyak lebih 100 buah syarikat swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan mengadakan pameran dan temuduga terbuka pada hari tersebut.
Dijangkakan seramai 20,000 orang pengunjung akan menghadiri program berkenaan.