Menteri Belia, Sukan Dan Solidariti merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sukan Malaysia (SUKMA) 2016, YB Datuk Sri Michael Manyin Jawong melakukan simbolik Perasmian Perkampungan Sukan SUKMA ke-18 di Dewan Arena Gemilang DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 22 Julai 2016.
Seramai 4, 504 orang atlet yang akan berkampung di enam buah kolej yang terdapat di UNIMAS antaranya Kolej Sakura, Allamanda, Cempaka, Dahlia, Bunga Raya dan Kolej Tun Ahmad Zaidi.
Perkampungan Sukan SUKMA di UNIMAS telah mula beroperasi sejak 14 julai membabitkan atlet yang terlibat dengan acara tenpin boling, gimnastik berirama, wushu, skuasy dan golf.
Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, YBhg Datu Dr Hatta Solhi menyerahkan replika berbentuk kunci kepada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur SUKMA Ke-18, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani selepas selesainya acara gimik pelancaran.
Turut hadir semasa majlis ialah Menteri Muda Belia Dan Sukan merangkap Chef-de-Mission Kontinjen SUKMA Sarawak Ke-18 2016, YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Solidariti, YB Puan Rosey Haji Yunus dan dif-dif kenamaan yang lain.