Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Richard Riot Jaem merasmikan Program Seminar Human Resource Summit 2016 di Hotel Pullman pada 25 Julai 2016.
Seminar yang bertemakan “Resource Skills & Competencies” itu bertujuan untuk memperkenalkan apa yang disediakan oleh kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).
Justeru, program ini menjadi platform untuk agensi-agensi berkongsi maklumat dan cara untuk meningkatkan kemahiran pekerja, memberikan penghargaan kepada pekerja dan sebagainya.
Menurut YB Dato’ Sri Richard Riot Jaem, tema ini amat bertepatan dengan apa yang berlaku di Sarawak dimana negeri ini memerlukan pekerja mahir bagi melaksanakan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) termasuk industri yang sedang berkembang maju di Samalaju.
Beliau berkata, fokus pembangunan negara sudah tentu perlu diarahkan kepada pembangunan modal insan yang menjadi tonggak kemajuan sesebuah negara.
Juga menjadi hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi selaras dengan perkembangan dan permintaan industri di Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan telah mensasarkan untuk meningkatkan nisbah tenaga kerja mahir daripada 28 peratus (kini) kepada 35 peratus menjelang tahun 2020.
Justeru, Kementerian Sumber Manusia komited untuk menggembleng usaha-usaha pembangunan kemahiran bagi mempertingkatkan penggunaan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.
Menurut beliau, untuk menjadi sebuah negara maju, negara perlukan sekurang-kurangnya 40 peratus pekerja mahir.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, YBhg Datuk Dr. Phang Chau Leong, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, YBhg Dato’ Sri Adenan Abdul Rahman, Pengarah Pengurusan Telent Industri MIDA, YBhg Encik Ismail Abu Bakar dan Pengarah PSMB Cawangan Sarawak, YBhg Cik Tuty Bt Bujang.