Ketua Menteri YAB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg hadir menyempurnakan upacara pecah tanah Kompleks Pentadbiran Serian, Dewan Persidangan dan Bandar Baharu Serian di tapak projek kompleks pentadbiran Serian pada 1 April.
Projek yang berkonsepkan seni bina ikonik Bidayuh, Baruk tersebut dibangunkan di kawasan seluas 32 ekar dan dijangka siap menjelang 2019.
Keluasan kompleks pentadbiran adalah kira-kira 20,000 meter persegi merangkumi pejabat, kafeteria, bilik mesyuarat dan fasiliti pejabat lain dengan 360 ruang parkir terbuka manakala Dewan Persidangan yang dibangunkan bersebelahan dengan kompleks pentadbiran mempunyai kapasiti yang mampu memuatkan 2,000 tetamu pada satu masa.
Kerja-kerja pembinaan Kompleks Pentadbiran akan bermula pada September ini dan dijangka siap pada Ogos 2018, manakala Dewan Persidangan akan dibina pada hujung tahun 2017 dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.
Bagi Bandar Baharu Serian, ia akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh lapan hingga 10 tahun oleh Borneo Development Corporation (Sarawak) Sdn Bhd.
Turut hadir ke upacara pecah tanah tersebut Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Belia, Sukan Dan Solidariti, YB Datuk Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Richard Riot Jaem, Menteri Muda Belia Dan Sukan, YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Incorporated Sdn Bhd, Encik Zainudin Jaafar.