Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18 telah disempurnakan oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang ditemani isteri YABhg Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Raghad Kurdi Taib pada pagi ini.
Perkarangan Bangunan DUN Sarawak mula dipenuhi oleh Ahli-ahli Yang Berhormat seawal pukul 9.00 pagi.
Selepas perarakan masuk panji-panji, Ketua Menteri YAB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg yang ditemani isteri YABhg Datin Amar Dato Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang tiba di Dataran Perbarisan Bangunan DUN Sarawak kira-kira pukul 9.20.
Ketibaan beliau dan isteri disambut oleh Speaker DUN YB Datuk Amar Haji Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pesuruhjaya Polis Sarawak YBhg Datuk Mazlan Mansor.
TYT Yang di-Pertua Negeri dan isteri tiba di Dataran Perbarisan dan disambut oleh Ketua Menteri, Speaker DUN dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.
Istiadat dimulakan dengan lagu Ibu Pertiwiku diikuti dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh TYT Yang di-Pertua Negeri yang diiringi oleh Ketua Pemerintah Perbarisan.
Majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Imam Besar Negeri Ustaz Haji Mustapha Kamal dan Hormat Diraja.
Seterusnya, Lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku dimainkan sebelum TYT Yang di-Pertua Negeri dan isteri beredar meninggalkan dataran untuk menuju ke Dewan Sri Sarawak.
Selepas itu, istiadat di dalam Dewan Mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa dan bacaan perisytiharan persidangan oleh Setiausaha DUN yang baharu, Encik Semawi Mohamad diikuti pemasyhuran mesyuarat oleh Speaker DUN.
TYT Yang di-Pertua Negeri kemudian menyampaikan ucapan pembukaan.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar.
Menariknya persidangan pada kali ini adalah kabinet negeri diterajui oleh YAB Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari sebagai Ketua Menteri yang baharu menggantikan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Haji Satem yang meninggal dunia pada 11 Januari lepas.
Persidangan kali ini juga menyaksikan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.3 Tanjung Datu yang baharu, iaitu YB Datuk Amar Hajah Jamilah Haji Anu.