- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Ekonomi Digital antara fokus utama dalam ucapan pembukaan DUN

Must read

IMG_2996-1_0Berikut adalah antara kandungan ucapan Tuan Yang Terutama, Yang Di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud ketika pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-18.

Pertumbuhan ekonomi Sarawak dijangka kukuh

Kadar pertumbuhan ekonomi Sarawak dijangka terus kukuh dan berkembang sekitar 3.5 peratus hingga 4.0 peratus dalam tahun 2017 seiring dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Namun, bagi menangani keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan negeri harus mengambil langkah-langkah yang strategik untuk memacu ekonomi negeri.

Justeru, di bawah Pelan Transformasi Kerajaan Negeri, penekanan diberi ke atas transformasi sosio-ekonomi, transformasi luar bandar serta transformasi prestasi dan penyampaian perkhidmatan dalam merealisasikan objektif ke arah menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Industri hiliran berteknologi tinggi diberi keutamaan

Kerajaan negeri akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan industri hiliran yang mempunyai nilai tambah dan berteknologi tinggi.

Melalui pembangunan Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE), kerajaan negeri telah berjaya menarik banyak industri yang mengeluarkan produk asas yang merupakan komponen atau input yang boleh menarik industri hiliran yang bernilai tinggi.

Keyakinan ini berasaskan industri-industri yang sudah ada di Taman Perindustrian Samalaju akan dapat membangun kluster masing-masing dan ini pastinya menggalakkan lebih banyak industri hiliran yang dipelawa untuk melabur di negeri ini.

Infrastruktur ICT lengkap jayakan pembangunan ekonomi digital

Pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lengkap adalah penting untuk menjayakan pembangunan ekonomi digital dan bagi merealisasikannya kerajaan negeri akan memperluaskan infrastruktur ICT di seluruh Sarawak.

Langkah ini amat penting bagi merapatkan jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar dengan harapan generasi muda dapat menggunakan platform ICT untuk melaksanakan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi masing-masing.

Sejajar dengan usaha tersebut, kerajaan telah merancang pelbagai inisiatif untuk memperlengkapkan rakyat menghadapi era ekonomi digital seperti pembangunan Digital Village, e-Commerce dan e-Learning.

Mempersiap rakyat di dalam ekonomi digital

Penerokaan ekonomi digital akan menjadi sumber pertumbuhan ekonomi baharu yang akan membuka peluang kepada rakyat, khususnya golongan muda untuk terlibat dalam perniagaan bentuk baharu.

Bagi memastikan Sarawak terus bergerak seiring dengan perkembangan di peringkat global, kerajaan negeri harus mempersiapkan rakyat agar dapat merebut peluang dalam ekonomi digital.

ICT akan menjadi teras pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sesebuah negara pada masa hadapan.

Mendahulukan kepentingan rakyat

Kerajaan negeri akan memastikan setiap rancangan pembangunan akan mendahulukan kepentingan rakyat dan ini terbukti melalui pelan-pelan pembangunan seperti Socio-Economic Transformation Plan (SETP), SCORE dan Pelan Ekonomi Digital.

Pelan-pelan pembangunan tersebut bertunjangkan objektif mempertingkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat melalui penyediaan akses kepada keperluan asas dan membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.

Segala pelan tersebut telah disusun rapi untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-11 yang kini sedang berada di tahun kedua pelaksanaan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article