- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Borneo 744 Lokasi Pertama Blue Ocean Entrepreneurs Township (BOET)

Must read

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia YBhg Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah telah merasmikan pra pelancaran Borneo 744, iaitu lokasi Blue Ocean Entrepreneurs Township (BOET) yang pertama di Malaysia di Kuching pada 19 Mei 2017.

Borneo 744 yang berkeluasan 120,000 kaki persegi terletak di kawasan perindustrian Bintawa, iaitu 6.5 kilometer dari bandar raya Kuching.

Dibina di bekas tapak bengkel mekanikal Jabatan Kerja Raya (JKR), Borneo 744 merangkumi lima blok kreativiti, iaitu Blok A, B, C, D dan E yang menumpukan kepada lapan sektor atau fungsi utama seperti keusahawanan, seni persembahan, muzik, seni visual termasuk fotografi, seni kraftangan, fesyen, filem dan penghasilan start up serta sokongan.

Inisiatif BOET di Borneo 744 yang diumumkan oleh Perdana Menteri YAB Datuk Patinggi Mohd Najib Tun Abdul Razak pada April tahun lepas adalah inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh dan melengkapkan ekosistem keusahawanan nasional melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Menurut YBhg Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar, melalui kerjasama di antara Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri, pengwujudan Borneo 744 merupakan pemangkin untuk usahawan yang kreatif dan berpotensi untuk sentiasa berkembang maju dan mencapai tahap yang lebih baik sesuai dengan peredaran semasa serta perkembangan terkini dalam sektor keusahawanan yang menjurus kepada kaedah pemasaran baharu dan penggunaan teknologi maklumat (ICT).

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar) YBhg Datu Jaul Samion yang turut hadir pada majlis tersebut berharap agar golongan belia tempatan memanfaatkan kemudahan yang disediakan di Borneo 744 untuk mengembangkan idea dan perniagaan mereka melalui ICT atau perniagaan secara online selari dengan usaha Kerajaan Negeri dalam mentransformasi ekonomi negeri ini ke arah ekonomi digital.

Majlis turut menyaksikan pelancaran Program Coding@Schools 2017 dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MAGIC), iaitu Pusat MAGIC Sarawak@Borneo 744.

Turut diadakan adalah pesta makanan tradisional masyarakat pelbagai etnik di Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article