- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Memperkasakan Hak-hak Pengguna di Era Digital

Must read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau MCMC telah menganjurkan Seminar Memperkasakan Hak-hak Pengguna di Era Digital buat kali yang kedua di salah sebuah hotel di bandar raya Kuching pada 27 Julai lepas.

Sejak dianjurkan buat pertama kali di Sabah pada Mei lalu, seminar dianjurkan bertujuan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat umum berkaitan isu-isu kepenggunaan yang sering dihadapi dalam industri komunikasi dan multimedia, isu-isu kritikal di alam maya seperti ransomware, hacking, penipuan dalam talian dan pelbagai isu sosial yang melibatkan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.

Seramai 250 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar universiti tempatan, persatuan pengguna serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan di Sarawak menghadiri seminar yang turut memberi peluang kepada para peserta untuk berdialog dengan syarikat pembekal perkhidmatan komunikasi yang hadir bagi membincangkan hal berkaitan perkhidmatan komunikasi.

Ketua Bahagian Pemantauan dan Pematuhan MCMC, Puan Sharizan Abdul Aziz memaklumkan, pada suku pertama 2017, MCMC telah menerima 7,837 aduan di seluruh negara merangkumi 70 peratus berkaitan telekomunikasi dan 30 peratus berkaitan isu kandungan media sosial yang sering dihadapi pengguna.

Sarawak merupakan antara enam negeri yang mencatatkan jumlah aduan terendah, iaitu sebanyak 186 aduan atau lima peratus daripada jumlah keseluruhan aduan yang merangkumi pelbagai isu seperti kualiti liputan telekomunikasi, bil, SMS dan aduan berkaitan kandungan media sosial.

Menurut Puan Sharizan, toleransi pengguna yang tinggi serta kurang pengetahuan mengenai saluran untuk membuat aduan yang disediakan oleh MCMC mungkin merupakan antara faktor yang menyebabkan jumlah aduan di Sarawak agak rendah.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya pengguna di Sarawak untuk tampil membuat aduan berkaitan isu perkhidmatan komunikasi dan pelbagai isu berkaitan salah laku di alam maya dan sebagainya dalam usaha MCMC meningkatkan mutu perkhidmatan dalam melindungi hak-hak pengguna.

Sebagai badan pengawal selia dalam hal komunikasi, MCMC telah mengambil beberapa pendekatan proaktif seperti pemerkasaan hak-hak pengguna, pemantauan, kawal selia dan peningkatan kecekapan operasi dalam industri telekomunikasi, penyiaran, postal dan aktiviti dalam talian.

Antara inisiatif dan pembangunan yang telah dijalankan oleh MCMC adalah Pembangunan Sistem Aduan Bersepadu (ICMS) yang memudahkan kendalian sistem aduan, Pensijilan ISO 9001:2008 bagi meningkatkan kecekapan operasi, Akreditasi Makmal bertujuan untuk meningkatkan kecekapan teknikal dalam sisatan, Pembangunan Pemantauan Kandungan terkini dan pelancaran portal Sebenarnya.my bagi memerangi penyebaran berita palsu.

Seminar tersebut yang diadakan sehari turut dijayakan bersama oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta pihak industri telekomunikasi dan penyiaran.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article