- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Visi Menjadikan Sarawak Pengeksport Utama Produk Pertanian dan Makanan

Must read

Ketua Menteri YAB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berharap agar Sarawak menjadi pengeksport utama produk pertanian dan makanan berkualiti yang memenuhi pasaran tempatan dan global.

Menurut beliau, visi tersebut hanya mampu dicapai melalui transformasi sektor pertanian sambil menyatakan harapan beliau untuk menjadikan sektor pertanian di negeri ini berdaya saing, dinamik dan mapan agar berupaya menjana perniagaan pertanian yang inovatif serta membuka peluang pekerjaan yang bernilai tinggi.

Perkara tersebut adalah antara intipati ucapan beliau ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Pertanian dan Industri Asas Tani Sarawak atau ICAAS 2017 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 21 Ogos.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri mensasar untuk meningkatkan tahap kecekapan diri (SSL) dalam pengeluaran makanan seperti beras daripada 53 peratus kepada 60 peratus, buah-buahan dan sayuran 60 peratus kepada 65 peratus, ikan 92 peratus kepada 100 peratus dan daging 10 peratus kepada 50 peratus.

Manakala bagi pendapatan isi rumah petani pula, Kerajaan Negeri mensasar peningkatan daripada RM2,750 kepada sekurang-kurangnya RM4,000 menjelang 2020 seterusnya mampu mengurangkan kadar kemiskinan di luar bandar semasa, iaitu sebanyak 1.6 peratus.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga sedang merangka strategi untuk memodenkan pertanian dan perniagaan dengan mengguna pakai teknologi digital yang dipercayai mampu meningkatkan hasil, produktiviti dan standard kualiti produk-produk pertanian tempatan.

Dalam ucapan tersebut, Ketua Menteri turut menyenaraikan 13 inisiatif utama bagi melaksanakan strategi berkenaan.

Antara inisiatif tersebut adalah meningkatkan keupayaan dan kebolehan petani yang berpengetahuan luas, berdaya saing dengan berorientasikan teknikal, perniagaan dan pasaran.

Kerajaan Negeri juga akan meluaskan rangkaian pemasaran melalui hub perdagangan, memperkemas sistem pengangkutan dan lojisitik di samping memperluas dan menaik taraf gudang dan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pusat pembungkusan (CPPC) yang dilengkapi infrastruktur digital.

Insiatif tersebut termasuk menubuhkan badan khas yang membantu dalam menarik pelaburan dan mempromosi perdagangan produk pertanian bagi menembusi pasaran global.

Antara lain, Kerajaan Negeri akan memperkukuh model pembiayaan untuk sektor pertanian dengan peruntukan yang telah diluluskan sebanyak RM100 juta dan beberapa lagi inisiatif yang lain.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas pula berkata, ICAAS 2017 yang dianjurkan buat julung kali adalah tepat pada masanya dan amat penting sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri memodenkan dan mengkomersialkan pertanian di Sarawak.

Selaku penasihat ICAAS 2017, beliau berharap supaya kepakaran dan idea yang disumbangkan dalam persidangan tersebut dapat diguna pakai dengan menyedari potensi besar dalam sektor pertanian negeri.

ICAAS 2017 yang berlangsung dari 21 hingga 22 Ogos disertai seramai lebih kurang 1,500 delegasi serta menampilkan 21 penceramah tempatan dan daripada luar negara yang berpengetahuan luas dalam sektor pertanian.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio-ekonomi) YBhg Datu Haji Ismawi Haji Ismuni.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article