- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Hab Inovasi Digital Kedua akan Dilancarkan di Sarikei

Must read

Sebuah lagi hab inovasi digital, iaitu TEGAS Digital Innovation Hub (TDIH) akan dilancarkan di Bahagian Sarikei.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg mengumumkan perkara tersebut ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Digital Kenyalang yang diadakan di Penview Convention Centre (PCC), Kuching pada 14 September 2017.

Seperti TDIH pertama yang beliau rasmikan di Icom Square, Kuching pada Ogos lepas, TDIH Sarikei juga dilengkapi dengan kemudahan internet, bilik perbincangan dan persidangan, ruang santai dan kafeteria.

Tambah beliau, TDIH Sarikei akan dihubungkan dengan Perkampungan Digital di Samajaya yang bakal dibina pada masa akan datang dengan kos bernilai RM30 juta.

Ketua Meteri turut memaklumkan bahawa beliau akan berada di Sarikei bagi melancarkan hab inovasi digital berkenaan pada 17 September ini.

Jelas beliau, pembinaan hab inovasi digital amat penting bagi membangunkan bakat golongan muda di bandar dan luar bandar dalam bidang mikro keusahawanan dan ICT dalam usaha Kerajaan Negeri ke arah ekonomi digital.

Selain Kuching dan Sarikei, beliau juga mengumumkan bahawa Bahagian Limbang bakal menjadi lokasi ketiga hab inovasi digital berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri menjelaskan, sejumlah RM1 bilion telah diperuntukkan bagi membangunkan infrastruktur ICT seperti menara telekomunikasi, cloud computing dan kabel gentian optik yang bertujuan untuk memperluas liputan dan menambah kelajuan internet di negeri ini.

Beliau turut menyatakan kemungkinan untuk Kerajaan Negeri menjalankan uji cuba teknologi mikro satelit di kawasan luar bandar Sarawak sebagai alternatif kepada menara telekomunikasi.

Mengenai penubuhan Suruhanjaya Komunikasi Sarawak atau SMA, beliau memaklumkan akan membentangkan rang undang-undang berkaitan penubuhan suruhanjya berkenaan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November depan.

Program Digital Kenyalang dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama Kementerian Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak dengan objektif untuk menggalakkan peningkatan pendapatan rakyat dalam bidang keusahawanan mikro selaras dengan usaha kerajaan membangunkan ekonomi digital negara.

Yang turut hadir ialah Menteri Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang merangkap Menteri Kewangan II YB Dato Sri Wong Soon Koh dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC YBhg Datuk Yasmin Mahmood.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article