Sambutan Hari Belia 2017 Peringkat Negeri Sarawak akan berlangsung selama dua hari bermula dari 27 hingga 28 Oktober bertempat di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong.
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan YB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, majlis perasmian akan disempurnakan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.
Beliau berkata, tujuan Hari Belia diadakan adalah untuk memberi penghargaan serta pengiktirafan terhadap sumbangan golongan belia kepada pembangunan negeri kerana mereka bakal menjadi pewaris kepimpinan masa depan negeri kita.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media yang diadakan di Bilik Mesyuarat Mulu, Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Bangunan Baitul Makmur, Petra Jaya pada 12 Oktober 2017.
Selain untuk mengiktiraf sumbangan para belia di dalam agenda pembangunan negeri, Sambutan Hari Belia juga adalah untuk mendekatkan para belia dengan pentadbir dan juga pihak kerajaan agar mereka lebih memahami serta mahu melibatkan diri secara aktif di dalam agenda pembangunan negeri.
Pada masa yang sama, ia juga adalah untuk memberi peluang dan ruang kepada para belia mengetengahkan pelbagai aktiviti serta bakat mereka di dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan, kesenian, kesukarelawan, semangat patriotik dan sebagainya.
Sambutan Hari Belia 2017 di Betong yang bertemakan “Belia Pencetus Inspirasi, Pemacu Inovasi” akan membabitkan sekurang-kurangnya 4,000 golongan belia dari seluruh Sarawak.
Antara pengisian program sempena Sambutan hari Belia 2017 ialah Youth Townhall bersama Ketua Menteri, Pameran Belia dan Kerjaya, Belia Kitchen dan Jualan (40 gerai), Pertandingan Melukis dan Mewarna Kanak-Kanak, Pertandingan Puteri Belia Millenia dan Youth Strongman serta banyak lagi aktiviti-aktiviti yang lain.