- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sarawak Komited ke Arah Ekonomi Digital

Must read

Kerajaan Negeri komited untuk mentransformasi ekonomi Sarawak kepada Ekonomi Digital dengan melancarkan pelan komprehensif untuk 17 bidang antaranya, Undang-undang, Tadbir Urus, Kerajaan Digital, Data Digital, Keselamatan Siber, Infrastruktur Digital, Pertanian, Pelancongan, Pembuatan, Perkhidmatan dan E-Perdagangan.

Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata demikian ketika merasmikan Forum Perdana Inovasi Sarawak yang diadakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Petra Jaya, Kuching pada 16 Oktober sempena Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri 2017.

Mengulas lanjut, pelan tersebut menurut beliau dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri sedar bahawa kedatangan gelombang dunia digital dan kepentingan budaya inovasi sudah tidak boleh diperlahankan, apatah lagi dihalang.

Oleh itu, Sarawak harus menerima perkembangan ekonomi digital dan inovasi dalam teknologi secara terbuka dan melakukan persediaan dari sekarang.

“Sebab itulah kita di Sarawak kini mengorak langkah seiring dengan perkembangan tersebut, kita tidak mahu ketinggalan dan tidak mahu menerima natijah buruk akibat tidak bersedia untuk berhadapan dengan arus globalisasi ini kelak’’, jelas beliau.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam persediaan ke arah ekonomi digital seperti mewujudkan Hab Inovasi Digital, iaitu TEGAS Digital Innovation Hub yang pertama di ICOM Square, Kuching, yang kedua di Sarikei dan akan diwujudkan di Betong, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas serta pembinaan Kampung Digital di Samajaya, Kuching.

Bertepatan dengan tema ‘Inovasi Memacu Ekonomi Digital’, forum tersebut pada pandangan beliau adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk fokus kepada ekonomi digital untuk menjadikan ekonomi negeri ini bergerak lebih maju.

Forum anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak itu dihadiri seramai 300 orang daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Hadir sama ialah Setiausaha Persekutuan Sarawak YBhg Dato’ Haji Mansor Man, Pengarah MPC Wilayah Sarawak Tengku Azmi Tengku Majid, Pengarah Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (UPPN), Jabatan Ketua Menteri Dr. Anthony Valentine Laiseh dan Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Sarawak Dr. Dusit Jaul.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article