- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Mempelbagai Ekonomi Dengan Memfokus Kepada Pembangunan Biomas

Must read

Sarawak berhasrat untuk mempelbagai ekonomi melalui bio-ekonomi dengan menjadikan biomas sebagai bahagian penting dalam transisi kepelbagaian ekonomi tersebut.

Berikutan itu, satu pelan tindakan terperinci akan dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Persekutuan-Negeri yang diketuai oleh Unit Perancang Negeri (SPU), Jabatan Ketua Menteri.

Hasrat kerajaan negeri berkenaan adalah berdasarkan kepada penilaian dalam kajian kerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) pada 2015 bagi memahami peluang sebenar biomas untuk Sarawak melalui sebuah jawatankuasa pemandu yang terdiri daripada wakil Kerajaan Negeri yang berkaitan yang diketuai SPU.

Pada 2013, Strategi Biomas Kebangsaan 2020 (NBS2020) menerangkan Sarawak sebagai salah sebuah negeri berpotensi untuk merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab pemprosesan biomas utama serantau.

Lanjutan itu, Pelan Pembangunan Industri Biomas Sarawak (SBIDP) di bawah inisiatif NBS2020 dilancarkan oleh Perdana Menteri YAB Datuk Patinggi Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 2016 dan diterajui oleh SPU.

Kajian terperinci tersebut dijalankan bagi mengukur jumlah biomas sebenar yang ada di Sarawak, kos serta potensi aktiviti-aktiviti hiliran yang memberi manfaat kepada penduduk dan impak sosio-ekonomi.

Penilaian daripada kajian tersebut menunjukkan Sarawak mempunyai potensi yang begitu hebat untuk memanfaatkan biomas ke arah menjana tambahan RM4.8 bilion dalam Pendapatan Negara Kasar (GNI) serta mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan dan peluang pelaburan sebanyak RM18 bilion melalui rantaian nilai keseluruhan biomas.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berkata demikian dalam teks ucapan beliau yang dibaca Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah pada Majlis Perasmian Persidangan Biomas Antarabangsa Malaysia (IBCM) 2017 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 19 Oktober.

Perkembangan ini adalah peluang unik untuk Sarawak menjadi peneraju dan berpotensi untuk menjadi kluster biomas bersepadu pertama di Asia atau Hab Bio memandangkan negeri ini mempunyai sumber bio lain sedia ada yang boleh disepadu dalam ekonomi perkongsian (sharing economy).

Sarawak boleh menyimpan 10 biofuel atau tumbuhan biokimia dalam pelbagai peringkat pembangunan, menggerakkan enam juta tan daripada 19 juta tan biomas kering dalam empat kluster spesifik di Bintulu, Miri, Tanjung Manis dan Kuching dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Melalui inisiatif ekonomi digital negeri, SBIDP akan diperkukuhkan lagi melalui pendekatan holistik ke arah pendigitan yang akan memberi impak kepada semua rantaian nilai utama seperti pertanian.

Pendekatan teknologi digital dalam pertanian terperinci seperti penggunaan drone akan membantu menyelesaikan isu-isu lama dalam industri pertanian seperti pengeluaran hasil, kekurangan tenaga kerja, kecekapan dan yang lebih penting, meningkatkan kos mobilisasi keseluruhan sumber seperti biomas menerusi penerokaan teknologi baharu.

Ketua Menteri yakin bahawa pelaksanaan pembangunan industri biomas yang baik dan realistik dapat menyumbang dalam menjadikan Sarawak sebuah negeri berpendapatan tinggi dengan pembangunan yang lebih seimbang di seluruh negeri.

Menurut beliau, penganjuran IBCM di Sarawak pada tahun ini tepat pada masanya untuk mencetuskan pemikiran inovatif dalam perjalanan ke arah agenda bioekonomi negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.

Beliau juga yakin bahawa Sarawak dapat membantu meletakkan Malaysia sebagai hab pemprosesan biomas serantau untuk aplikasi hiliran bernilai tinggi.

Persidangan dua hari tersebut menampilkan 18 penceramah dan ahli panel antarabangsa serta 15 pakar dalam bidang berkaitan dari Malaysia dan disertai lebih 900 perwakilan dari Australia, Singapura, Amerika Syarikat, Belanda, Kore Selatan, Denmark dan Jepun.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Penasihat AIM YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri YB Datuk Haji Ahmad Maslan, Duta dan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia Maria Castillo Fernandez, Duta Republik Korea ke Malaysia Dr Yu Hyun-seok dan Duta (dilantik) Belanda ke Malaysia Karin Mossenlecher dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia (AIM) Naser Jaafar.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article