Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg menasihati para belia di negeri ini agar mempertingkatkan kefahaman di dalam dunia teknologi digital untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif bagi mencapai impian negeri maju dalam Malaysia menjelang 2030.
Tambah beliau, belia yang berdaya saing seharusnya memiliki kekuatan ilmu, kekuatan mental dan fizikal untuk menjadi belia yang cemerlang.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan para belia dan beliawanis di negeri ini supaya terus bangun mempertingkatkan potensi di dalam pelbagai bidang dan bersama-sama memajukan bumi kenyalang agar lebih menonjol dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Beliau menyifatkan, penglibatan aktif para belia dalam pelbagai sektor telah terbukti apabila Bahagian Betong kini telah menjadi sebuah bahagian yang cukup membangun dalam pelbagai sektor terutamanya dalam bidang pertanian seperti di Bukit Sadok yang mengeluarkan produk tempatan untuk dieksport ke dalam dan luar negara melalui e-commerce atau melalui ekonomi digital.
Perkara ini dinyatakan oleh beliau ketika berucap di majlis Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2017 yang bertemakan “Belia Pencetus Inspirasi Pemacu Inovasi” di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pada 28 Oktober, lepas.
Pada majlis tersebut, Ketua Menteri telah menyampaikan Anugerah Ikon Belia Individu lelaki yang menjadi milik Encik Royston Valentine, 31, dari Mukah dan Anugerah Ikon Belia Individu Wanita yang menjadi milik Aziza bt Asnizan, 21, dari Universiti Pertanian Malaysia(UPM).
Kedua-dua mereka telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 serta piala dan sijil.
Sementara itu, Kelab Petra Jaya dinobatkan sebagai Johan Kategori Kelab dimenangi kemenangan berjaya membawa pulang hadiah berjumlah RM10,000 serta piala dan sijil manakala kelab Sukan Rekreasi Laser Debak naib Johan yang turut membawa pulang hadiah sebanyak RM7,000 beserta piala dan sijil.