- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

210 Sekolah Kritikal Daif Di Sarawak Perlu Disiapkan Dalam Tempoh 2 Tahun

Must read

Sebanyak 210 daripada 415 buah sekolah yang dikenalpasti kritikal daif di Sarawak harus siap dibina dalam tempoh dua tahun bermula daripada tahun 2018 hingga 2019.

Pembinaan sekolah-sekolah kritikal daif itu akan dibangun dengan menggunakan peruntukan RM1 billion seperti yang telah diumum oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam pembentangan bajet 2018 pada 27 Oktober, lepas.

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Landeh, Padawan pada 20 Oktober 2017.

Tambah beliau, pembinaan sekolah-sekolah kritikal daif yang sudah dikenal pasti itu akan dilakukan sama ada secara konvensional atau menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) mengikut kesesuaian.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu kesemua sekolah baharu yang akan dibina itu harus dilengkapi dengan makmal sains untuk membolehkan murid-murid mempelajari ilmu kimia, fizik, biologi, pertanian dan juga ilmu digital dengan berkesan.

Penetapan ini juga adalah seiring dengan penekanan Kerajaan negeri dalam pengajaran dan pembelajaran Sains, Kejuruteaan dan Matematik (STEM) yang harus bermula dari peringkat awal lagi.

Pada masa yang sama, Ketua Menteri juga menegaskan bahawa murid-murid ini harus dilatih  agar fasih dalam kedua-dua bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris kerana bahasa digital yang digunakan adalah Bahasa Inggeris.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan II YB Senator Datuk Chong Sin Woon memaklumkan bahawa bangunan baharu SK Landeh yang dibina dengan kos RM19.6 juta di atas tanah seluas 2.23 hektar telah siap dibina pada 16 November 2016.

Projek pembinaan bangunan baharu SK Landeh ini telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) Rolling Plan Ke-2 dan ia mampu memuatkan sejumlah 540 pelajar pada satu-satu masa.

Jelas beliau, pembinaan bangunan baharu SK Landeh ini telah menyaksikan satu lagi usaha kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur untuk kemajuan dan kebajikan masyarakat.

Usaha ini juga menjadi bukti kesungguhan kerajaan untuk memastikan kepentingan rakyat dalam usaha mencapai pembangunan sentiasa diberi perhatian.

Beliau menjelaskan bahawa usaha kerajaan tidak akan terhenti setakat ini malah, kerajaan akan terus membangunkan pelbagai prasarana berdasarkan keperluan rakyat dan untuk memenuhi harapan rakyat dalam pembangunan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article