- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Memastikan Keseimbangan Rizab Kewangan dan Pelaburan

Must read

Peranan utama Bank Pembangunan Sarawak atau DBOS adalah memastikan keseimbangan di antara rizab kewangan dan pelaburan tanpa mengurangkan rizab kewangan Kerajaan Negeri.

Menurut Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, sejak beliau dilantik sebagai Ketua Menteri, antara perkara pertama yang beliau lakukan adalah meneroka model kewangan inovatif yang diamalkan di negara lain yang boleh diguna pakai bagi membiayai projek-projek strategik untuk pembangunan Sarawak.

Tambah beliau, Sarawak amat bertuah kerana memiliki rekod kewangan yang cemerlang serta rizab yang besar hasil daripada kepimpinan pemimpin-pemimpin dahulu.

Namun, memiliki sejumlah rizab yang besar juga boleh menjadi sebaliknya jika tidak digunakan untuk melabur dan meningkatkan penggunaan domestik.

Kegagalan dalam memanfaatkan rizab dengan tidak melabur bermakna, Sarawak kehilangan peluang dalam pelaburan atau dipanggil sebagai kos melepas (opportunity cost).

“Kita bernasib baik kerana di bawah kepimpinan Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Pehin Sri Haji Adenan Haji Satem, kita mempunyai rekod kewangan yang baik dan memiliki rizab kewangan yang besar”.

“Namun, memiliki rizab yang besar juga boleh menjadi tidak baik jika kita tidak menggunakan wang kita untuk melabur dan meningkatkan penggunaan domestik”.

“Pakar ekonomi tahu bahawa rizab yang tidak digunakan untuk melabur juga akan mendatangkan kos, iaitu kos melepas kerana kita tidak menggunakan wang kita”.

“Apa yang saya maksudkan adalah terdapat keperluan untuk memastikan keseimbangan di antara rizab kita dan pelaburan tanpa mengurangkan rizab dan inilah peranan utama DBOS”, jelas beliau.

Ketua Menteri menyatakan perkara berkenaan ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi DBOS dan Pengenalan Logo DBOS di Kuching pada 3 November 2017.

Beliau juga memaklumkan bahawa terdapat beberapa projek strategik yang ingin dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi mempercepatkan pembangunan Sarawak yang akan dibiayai dengan sumber-sumber pendapatan negeri melalui perkhidmatan yang disediakan oleh DBOS.

Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk melabur di beberapa kawasan tertentu bagi memanfaatkan potensi besar sumber pendapatan dan meningkatkan penggunaan dalam usaha merangsang ekonomi domestik dalam jangka masa panjang dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan bandar, telekomunikasi, ekonomi digital, penjagaan kesihatan dan pertanian bersepadu.

Dalam usaha menuju ekonomi digital, Sarawak memerlukan sumber kewangan yang banyak dan tidak boleh menunggu dan berharap dengan sumber kewangan yang lain.

Oleh itu, tegas beliau, DBOS adalah langkah ke hadapan kepada Sarawak melalui pelbagai kemudahan seperti pinjaman berjangka, kemudahan kredit pusingan untuk pembiayaan modal kerja dan jaminan bank.

Bank pembangunan milik Sarawak tersebut akan mendapatkan modal berbayar berjumlah RM500 juta apabila mula beroperasi pada Januari 2018.

Yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah kedua-dua Timbalan Ketua Menteri, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kewangan II YB Dato Sri Wong Soon Koh, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani merangkap Pengerusi DBOS dan Ketua Pegawai Eksekutif DBOS Sim Kheng Boon.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article