- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Belanjawan Negeri 2018 Mengambil Kira Impak Pendigitalan dan Memberi Keutamaan Kepada Ekonomi Digital

Must read

Belanjawan Negeri 2018 mengambil kira impak pendigitalan ekonomi negeri atau visi ke arah ekonomi digital dengan memfokus kepada enam strategi utama.

Sasaran enam strategi yang digariskan adalah untuk mencapai pembangunan ekonomi yang lebih luas dan seimbang serta menyokong pertumbuhan ekonomi di samping memberi keutamaan kepada ekonomi digital.

Belanjawan Negeri 2018 diumumkan oleh Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg ketika beliau membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Negeri pada Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18 pada 8 November 2017.

Strategi pertama, perbelanjaan bagi 2018 yang cenderung kepada pembangunan memperuntukkan RM5.745 bilion atau 70 peratus daripada jumlah belanjawan keseluruhan untuk tujuan pembangunan.

Manakala RM2.481 bilion pula, iaitu 30 peratus daripada jumlah belanjawan keseluruhan adalah untuk perbelanjaan operasi.

Daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan, 53 peratus atau RM3.062 bilion diperuntukkan kepada luar bandar yang merupakan peruntukan tertinggi berbanding RM2.65 bilion untuk 2016 dan RM2.982 untuk 2017.

Kedua, ekonomi digital sebagai teras utama transformasi ekonomi yang disenaraikan sebagai strategi ekonomi baharu.

Belanjawan 2018 akan menyokong visi negeri memaksimum potensi teknologi digital dan pendigitalan untuk membawa Sarawak dalam bidang digital global dan visi ‘Smart Sarawak’.

Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri komited dalam menyediakan RM1 bilion untuk pembangunan infrastruktur digital dan program di bawah inisiatif ekonomi digital Sarawak.

Strategi ketiga memfokus kepada kesinambungan agenda transformasi Sarawak merangkumi sosio-ekonomi, luar bandar dan trasformasi prestasi dan penyampaian perkhidmatan.

Melalui strategi keempat, Kerajaan Negeri akan terus mempercepat pertumbuhan ekonomi yang didorong oleh pelaburan yang luas.

Pelaburan yang luas memfokus kepada sasaran dan pelaburan utama yang secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dalam sektor industri dan perniagaan terutama dalam ICT, kemudahan asas, pembuatan, tenaga, minyak dan gas, teknologi digital dan sektor-sektor yang lain.

Sasaran pelaburan tersebut akan menjana pendapatan yang akan membangunkan bakat dan kemahiran, mempromosi inovasi dan keusahawanan, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan untuk belia dan putaran dalam pelbagai sab-sektor yang memberi manfaat kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Strategi kelima memfokus kepada sektor swasta sebagai penggerak utama pertumbuhan ekonomi negeri.

Persekitaran perniagaan yang kondusif dan mesra sektor swasta terutama IKS harus diwujudkan bagi meningkatkan penglibatan sektor swasta dalam agenda pembangunan negeri.

Melalui strategi ini, Kerajaan Negeri akan terus menyokong peruntukan terhadap keperluan infrastruktur asas dan meningkatkan akses perhubungan, institusi latihan kemahiran dan pusat inkubator, taman perindustrian dan pusat inovasi dan peruntukan penyampaian perkhidmatan e-kerajaan.

Usaha ini adalah elemen penting dalam mengukuhkan kerjasama awam swasta melalui pendekatan perdagangan yang lebih kukuh dan mengurangkan kebergantungan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun terhadap kewangan Kerajaan Negeri.

Dengan cara tersebut, sektor swasta akan terus relevan dan terus menggerakkan pertumbuhan ekonomi dalam menyumbang kepada agenda pembangunan negeri.

Strategi keenam pula menekankan kepada peningkatan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dengan pembiayaan yang mencukupi.

Walau bagaimanapun, usaha berterusan perlu dilaksanakan untuk mengurus dan mengawal perbelanjaan operasi, mengukuhkan pengurusan kewangan dan mengelakkan pembaziran dan meningkatkan pelaksanaan e-kerajaan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article