- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pelancaran Setem Ulang Tahun Ke-150 DUN Sarawak

Must read

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad telah menghasilkan setem khas sempena Ulang Tahun Ke-150 DUN Sarawak.

Setem berkenaan telah dilancarkan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg di Bangunan DUN, Petra Jaya, Kuching semasa hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan DUN Ke-18 pada 8 november 2017.

Yang turut hadir ialah dua orang Timbalan Ketua Menteri, iaitu YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan dan YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker DUN YB Datuk Amar Haji Mohd Asfia Awang Nassar dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia YB Dato’ Seri Jailani Johari.

Setem Ulang Tahun Ke-150 DUN Sarawak menunjukkan perubahan era sejak mesyuarat Kabinet Negeri pertama dahulu yang dikenali sebagai Majlis Umum (The General Council) yang diadakan di Bintulu pada 1867 hingga kewujudan Bangunan DUN sekarang.

Cokmar yang terdapat pada stem tersebut melambangkan kuasa dan autoriti Speaker DUN manakala cokmar baharu pula menggantikan cokmar lama yang telah digunakan sejak lebih 30 tahun sebagai menandakan era baharu DUN Sarawak sekarang.

Diasaskan oleh Rajah Muda Charles Brooke, DUN Sarawak adalah yang tertua di Malaysia dan telah beberapa kali berpindah dari satu bangunan ke bangunan yang lain serta mengalami perubahan pada nama.

Pada 1868, mesyuarat Majlis Umum telah berpindah ke Sibu dan kemudian ke Astana, Kuching pada Oktober 1870.

Pada 1903, Majlis Umum telah ditukar kepada Majlis Negri (Council Negri) dan dari 22 Julai 1918 hingga 28 Disember 1973, mesyuarat Majlis Negri diadakan di Bangunan Mahkamah Lama sebelum berpindah ke Dewan Pembangunan Tun Abdul Razak di Kuching.

Kemudian pada 1976, Majlis Negri dinamakan sebagai Dewan Undangan Negeri (DUN) dan memiliki bangunan sendiri, iaitu Kompleks Dewan Undangan Negeri yang terletak berhampiran Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching.

Seterusnya, DUN Sarawak berpindah ke bangunan baharu yang dirasmikan oleh Yang Di-Pertuan Agong pada Julai 2009 yang digunakan sekarang, terletak di atas bukit berhampiran dengan Astana dan Fort Margherita.

DUN Sarawak telah memasuki tiga fasa penting, iaitu era Rajah Brooke, pemerintahan British sehinggalah kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963 dan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Pada masa sekarang, DUN Sarawak mempunyai bilangan ahli perwakilan seramai 82 orang.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article