Acara perasmian dan simbolik “Eye Dotting Ceremony” sempena Festival Regata Sarawak 2017 telah disempurnakan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg di Tebingan Kuching pada 11 November 2017.
Acara pada kali ini menyaksikan penyertaan 23 buah perahu naga mewakili Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Perak, Australia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Brunei Darussalam.
Bagi pertandingan perahu naga antarabangsa yang berlangsung selama 3 hari, iaitu dari 10 hingga 12 November 2017, sebanyak 10 buah negara telah mengesahkan kehadiran.
Antara negara-negara tersebut adalah Malaysia, Singapura, Brunei, Filipina, China, Hong Kong, Bangladesh, Australia dan India.
Sehubungan itu, sebanyak enam kategori dipertandingkan, iaitu lima (5) untuk kategori antarabangsa dan satu untuk kategori tempatan yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM45, 000 termasuk piala dan pingat.
Selain acara Perahu Naga, turut berlangsung acara perlumbaan Perahu Regata Sarawak bermula dari 17 November dan akan berakhir pada 19 November 2017.
Sebanyak 17 kategori lumba perahu akan dipertandingkan melibatkan perahu tambang berdayung, perahu tambang berenjin, perahu balok, perahu bidar dan perahu Kenyalang.
Secara keseluruhan lumba perahu Regata Sarawak akan melibatkan 26 peringkat saringan dan 17 peringkat akhir.
Pertandingan Perahu Regata Sarawak menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM240,000 manakala untuk pemenang “Raja Sungai” akan membawa pulang piala dan wang tunai sebanyak RM10,000.
Sempena Festival Regata Sarawak, turut diadakan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan kebudayaan, pertandingan karaoke, pertandingan gendang, pertandingan muzik kreatif, pertandingan Waterfront Idol, persembahan buskers dan persembahan nyanyian oleh penyanyi tempatan.