Sultan Brunei Darussalam, KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah ibni Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien telah tiba di Tebingan Sungai Kuching pada pukul 2.15 petang semalam bagi menyaksikan Perlumbaan Akhir Perahu Sempena Regatta Sarawak 2017 yang ke-145.
Keberangkatan tiba baginda di tebingan Sungai Kuching telah disambut oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.
Turut menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan YB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Aktiviti kemuncak petang itu menyaksikan acara perlumbaan bidar atau perahu panjang kategori orang kenamaan (VIP) yang julung kali diadakan.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan telah menyertai acara perlumbaan bidar bersama pasukannya “Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei” bersaing dengan pasukan “Ketua Menteri Sarawak” dan lima pasukan yang lain.
Sultan Hassanal Bolkiah bersama 19 orang pendayung lelaki telah berjaya memenangi perlumbaan perahu panjang kategori kenamaan tersebut.
Perlumbaan perahu panjang atau bidar telah diperkenalkan sejak era pemerintah Rajah Brooke pada tahun 1872 bagi memupuk semangat setia kawan dan menghentikan persengketaan antara suku kaum di negeri ini ketika itu.
Sehinggalah kini, Sarawak Regata merupakan antara acara tarikan pelancong yang terbesar di negeri Sarawak diadakan setiap tahun untuk memupuk dan memperkuatkan impian Sarawak untuk menjulang dan mempopularkan nama Negeri Sarawak dipersada dunia.
Pelbagai acara dan aktiviti diadakan seperti International Dragon Boat Race, Festival Keusahawanan dan Makanan, Promosi Kraf Malasyia dan banyak lagi aktiviti-aktiviti yang lain.
Sebaik saja acara selesai di Tebingan Sungai Kuching, KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan diiringi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Ketua Menteri dan Dif-Dif Kehormat yang lain berangkat ke Hotel Hilton Kuching pada pukul 4.45 petang bagi menghadiri program “High Tea”.