Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah melancarkan dua inisiatif baharu, iaitu Smart Sticker System (SSS) dan KIWIMOBI-EYE sempena sambutan Hari Integriti dan Inovasi serta Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan DBKU 2017 yang telah dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani di Auditorium DBKU, Kuching pada 27 November.
Yang turut hadir ialah Datuk Bandar Kuching Utara YBhg Datuk Haji Abang Abdul Wahap Haji Abang Julai.
Smart Sticker System adalah pelekat pintar yang direka bagi melindungi pelekat daripada pemalsuan, penduaan serta pengubahsuaian dan dikeluarkan dua tahun sekali bersama dengan lesen perniagaan untuk dipamerkan di premis perniagaan.
Pelekat tersebut juga dilengkapi dengan QR Code untuk tujuan penyimpanan data serta penarafan kebersihan premis bagi lesen premis makanan dan diagihkan mengikut gred semasa premis makanan.
Inisiatif baharu tersebut dapat membantu DBKU mengenal pasti premis yang berniaga tanpa lesen, memudahkan penguatkuasaan, pemantauan dan laporan yang lebih mudah dan tepat serta dapat memantau kakitangan DBKU yang menjalankan pemeriksaan.
Pelekat berkenaan yang juga mesra pengguna membolehkan orang awam mengakses maklumat am mengenai premis perniagaan di kawasan DBKU.
Manakala KIWIMOBI-EYE pula adalah kamera TV litar tertutup (CCTV) mudah alih dan berautonomi yang mempunyai ciri-ciri pintar dan mampu membuat pemantauan dengan lebih tepat.
Sistem yang terdapat pada CCTV tersebut berupaya untuk berintegrasi dengan teknologi kamera terkini yang terdapat di pasaran seperti integrasi bersama protokol internet (IP) kamera dan peranti tanpa wayar di pos mudah alih.
Pemantauan melalui CCTV mudah alih terbaharu berkenaan dapat membantu DBKU membuat pengawasan yang lebih efektif ke atas aktiviti-aktiviti pembuangan sampah haram, vandalisma serta kesesakan jalan raya dalam kawasan pentadbiran DBKU.
Majlis pada hari tersebut juga menyaksikan lafaz ikrar dan upacara menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh Pengarah DBKU Jumaini Haili yang disaksikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Sarawak YBhg Dato’ Badrul Shah Norman.
Turut diadakan adalah penyampaian Anugerah Inovasi, Anugerah Pegawai Bestari dan Anugerah Integriti yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.