- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kerajaan pertimbang naik taraf atau bina semula Kompleks ICQS Tebedu

Must read

Kerajaan mempertimbangkan sama ada untuk menaik taraf atau membina semula Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, Serian.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri YAB Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media setelah beliau membuat tinjauan di kompleks berkenaan.

Yang mengiringi beliau ialah Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Timbalan Menteri Dalam Negeri YB Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Pengarah Imigresen YBhg Dato’ Seri Haji Mustafar Haji Ali.

Beliau memaklumkan bahawa cadangan menaik taraf atau membina semula kompleks tersebut adalah lanjutan daripada Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia Ke-12 di Kuching pada 22 November lepas di antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia yang telah mencapai kata sepakat untuk membuka semula aktiviti perdagangan Tebedu-Entikong (Kalimantan Barat, Indonesia) setelah Perjanjian Perdagangan Sempadan (BTA) dan Perjanjian Lintas Batas (BCA) ditandatangani oleh Malaysia dan Indonesia.

Sehubungan itu, sebuah jawatankuasa bertindak yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Menteri akan ditubuhkan bagi mengkaji dan memberi maklum balas keperluan naik taraf atau bina semula Kompleks Imigresen Tebedu dalam masa terdekat.

YAB Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berharap agar pembangunan kompleks tersebut serta pembukaan semula perdagangan di antara kedua-dua sempadan akan memberi manfaat ekonomi kepada penduduk di kedua-dua negara, khususnya penduduk Serian sebagaimana aspirasi Perdana Menteri YAB Datuk Patinggi Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk membangunkan Tebedu.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article