Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Pusat Transformasi Bandar (UTC) menyediakan perkhidmatan secara berpusat iaitu Mini UTC kepada orang awam sempena dengan Majlis Agenda DBKU 2018.
Mini UTC akan mula dibuka kepada orang ramai bermula dari 26 hingga 28 Januari 2018 bertempat di Perkarangan Square Tower, Tebingan Sungai Sarawak, Kuching.
Dengan bertemakan “Digitalisasi Ke Arah Bandar Pintar Dan Mesra”, Mini UTC akan menyediakan perkhidmatan atas talian kepada orang awam.
Inisiatif ini bukan hanya untuk mendokong aspirasi Kerajaan Negeri dalam menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang berteknologi tinggi, pada masa yang sama ia adalah untuk memudahkan orang awam berurusan dengan agensi-agensi kerajaan.
Agensi-agensi kerajaan yang turut serta dalam menjayakan Mini UTC ini ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional.
Selain itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Sumber Manusia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), TM Point, Ar-Rahnu, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan Pengurusan UTC juga turut terlibat dalam menjayakan Mini UTC ini.
Berlainan dengan tahun-tahun sebelumnya, ekspo kali ini turut menyediakan kaunter bergerak (kenderaan) melibatkan Lembaga Tabung Haji, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan DBKU.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang tiga hari berlangsungnya majlis tersebut antaranya Pameran KomunitiKU, Ekspo Digital #MA2018 oleh agensi kerajaan dan swasta, dan Ekspo Pameran E-Government.
Antara aktiviti lain yang turut disajikan kepada warga kota ialah Ceramah Perdana, DapurKU, Food Truck, Flea Market, DBKU On The Move (DOTM), Kiddies Corner, Let’s Ride With Chief Minister Of Sarawak, Konsert Millenia 2018, Jom Berekot 2.0 dan sebagainya.
Majlis Pra-Pelancaran Ekspo Pameran E-Government, Ekspo Digital #MA2018 dan Pameran KomunitiKU telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara YBhg Datuk Haji Abang Abdul Wahap Bin Haji Abang Julai pada 26 Januari 2018.