- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pemindaan Kanun Tanah Sarawak Sebagai Jalan Penyelesaian Isu Pemakai Menua dan Pulau Galau

Must read

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg memaklumkan bahawa, Kerajaan Negeri bersedia untuk meminda Kanun Tanah Sarawak sebagai jalan penyelesaian terhadap isu Pemakai Menua dan Pulau Galau.

Namun demikian jelas beliau, sebelum Kanun Tanah tersebut dapat dipinda, definisi terhadap pemahaman Pemakai Menua dan Pulau Galau yang kini berbeza mengikut kaum Bumiputera di negeri ini perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Hal ini kerana definisi Pemakai Menua dan Pulau Galau itu perlu dipersetujui oleh semua kaum Bumiputera agar proses untuk meminda Kanun Tanah Sarawak menjadi lebih mudah.

Beliau menyifatkan Persidangan Ketua Masyarakat mengenai Pemakai Menua dan Pulau Galau yang diadakan pada hari tersebut sebagai suatu pertemuan yang penting kerana kerajaan ingin mendapat maklumbalas daripada pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi mengenai isu Pemakai Menua dan Pulau Galau.

Menurut beliau, Pemakai Menua dan Pulau Galau tidak mempunyai kuasa undang-undang kerana ia tidak terdapat dalam Kanun Tanah Negeri walaupun ia wujud dalam undang-undang adat Bumiputera di Sarawak.

Tambah beliau, keputusan mahkamah berhubung kes Pemakai Menua pada 26 Disember 2016 pun dibuat berdasarkan intepretasi undang-undang yang ada oleh peguam serta hakim.

Justeru itu, apa yang perlu dibuat ialah memberi kuasa udang-undang kepada Pemakai Menua dan Pulau Galau menerusi pindaan Kanun Tanah Sarawak yang dapat diterima oleh semua pihak.

Perkara ini dijelaskan oleh beliau ketika berucap di Majlis Perasmian Persidangan Ketua Masyarakat Mengenai Pemakai Menua dan Pulau Galau yang diadakan di Kuching pada 24 Januari 2018.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula dari 24 hingga 25 januari itu dihadiri 450 peserta dan 368 daripada jumlah tersebut merupakan Ketua Masyarakat terdiri daripada etnik Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau dan Melayu di seluruh negeri Sarawak.

Ia bertujuan untuk mendapat pengertian yang lebih jelas dan pemahaman yang jitu mengenai Pemakai Menua dari pelbagai kaum etnik Sarawak mengikut adat resam masing-masing selain untuk menerima maklum balas dari Ketua Masyarakat terhadap cara dan kaedahnya.

Selain itu, persidangan itu juga adalah untuk menyediakan input tambahan untuk pindaan Kanun Tanah Sarawak (Cap.81) dan perundangan-perundangan lain yang berkaitan, untuk dikemukakan kepada Pihak Kerajaan Negeri.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article