- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Sarawak Penyumbang Terbesar Sektor Pertanian Malaysia

Must read

Sarawak diiktiraf sebagai penyumbang terbesar kepada sektor pertanian di Malaysia berdasarkan peningkatan jumlah sumbangan daripada RM11.8 bilion atau 14.3 peratus pada tahun 2010 kepada RM14.7 bilion (16.8 peratus) pada 2016.

Perkara ini dimaklumkan Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg pada Majlis Pelancaran “Road to MAHA (Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism) 2018” Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Tebingan Lundu pada 25 Mac 2018.

Menurut beliau, Sarawak mampu menyumbang kepada jumlah yang lebih besar lagi sekiranya fokus diberikan dari sudut produksi atau pengeluaran serta strategi pemasaran.

Sumbangan ini banyak bergantung daripada sub-sektor tanaman khususnya komoditi seperti kelapa sawit, getah, lada hitam, sagu serta sub-sektor ternakan seperti ayam dan khinzir.

Sebagai negeri terbesar di Malaysia, Sarawak mempunyai kawasan yang luas dan berpotensi untuk dibangunkan di bawah sektor pertanian.

Tambah beliau, seluas dua (2) juta hektar tanah pertanian telah dikenal pasti untuk pelbagai jenis aktiviti pertanian di negeri Sarawak.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan mempelbagaikan usaha untuk memodenkan industri pertanian di negeri ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.

Menurut beliau lagi, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah memaklumkan kepada beliau bahawa Sarawak mengimport makanan dari luar negara sekurang-kurangnya RM3 bilion setahun.

Pada pandangan Ketua Menteri, Sarawak sepatutnya menjadi pengeksport makanan berdasarkan potensi yang dimiliki tetapi sebaliknya berlaku.

Jelas beliau, jumlah import sebanyak RM3 bilion tersebut seharusnya menjadi jumlah yang negeri ini dapat daripada eksport hasil pertanian ke luar negara.

Sehubungan itu, bagi membangunkan lagi industri pertanian di Sarawak, Kerajaan Negeri akan mentransformasi industri pertanian berasaskan teknologi.

Ke arah usaha tersebut, kerajaan akan melabur banyak dalam bidang pertanian termasuk bagi pembelian kapal terbang kargo khas untuk mengeksport hasil tani dan makanan segar dari negeri ini ke pasaran luar.

Kapal terbang kargo khas itu akan menelan pelaburan hampir RM10 juta dan mampu membawa tiga tan muatan pada setiap penerbangan.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani YB Dato’ Anthony Nogeh Gumbek memaklumkan MAHA 2018 merupakan salah satu daripada program turun padang pihak kementerian untuk bertemu dengan petani, penternak, peladang dan nelayan.

Tambah beliau, MAHA yang merupakan pameran terbesar di rantau ASEAN akan diteruskan ke negeri-negeri lain sehingga ke acara kemuncak pada 22 November hingga 2 Disember depan di Dewan MAEPS Serdang, Selangor.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article