- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pembangunan PKS terus diberi perhatian

Must read

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan tulang belakang ekonomi dengan peratusan penubuhan keseluruhan sebanyak 98 peratus di negeri mahupun di seluruh negara.

Berdasarkan perkembangan tersebut, Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian serius terhadap pembangunan PKS melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak (MIED).

Sebagai peneraju pembangunan PKS di Sarawak, MIED telah menyelaras pelbagai program bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan dan agensi-agensi berkaitan pembangunan keusahawanan PKS.

Antara program pembangunan yang dilaksanakan adalah seperti pembangunan kapasiti, pembangunan produk termasuk mempelbagaikan rangkaian pasaran untuk para usahawan.

Menurut Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, program pembangunan kapasiti yang dilaksanakan adalah Kursus Teknologi Pemprosesan Makanan, Latihan Berpusat, Program Jerayawara Keusahawanan dan kemudahan kewangan seperti Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), Program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Program Usahawan Teknikal Vokasional (USTEV).

Tambah beliau, program-program berkenaan akan ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kesesuaian.

Selain MIED, beberapa agensi lain antaranya Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan sebagainya juga menawarkan pelbagai program dan bantuan kewangan untuk membangunkan kapasiti dan kebolehupayaan usahawan.

Dalam melaksanakan pembangunan produk PKS, kementerian menurut YB Datuk Amar Haji Awang Tengah juga memfokuskan kepada dua produk utama bermula tahun ini, iaitu Gula Apong dan Ikan Tahai dengan mengadakan kerjasama dengan agensi dan institusi tempatan berkaitan bagi meningkatkan pengeluaran kedua-dua produk berkenaan.

Beliau yang merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan memaklumkan perkara tersebut ketika sesi penggulungan pada hari ketujuh Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Menjelas lanjut, beliau memberitahu kementerian juga membantu dari aspek promosi dan pemasaran produk dalam usaha meningkatkan dan meluaskan pasaran PKS ke peringkat domestik dan antarabangsa.

Antara aktiviti-aktiviti promosi dan pemasaran yang telah dianjur dan disertai kementerian adalah Program Brunei Consumer Fair 2018, International Energy Week, Program Himpunan Usahawan Bumiputera, LeFest Tour, Program MIHAS, Business Mission di Kalimantan Barat, Indonesia bersama Sarawak Business Federation serta pogram showcase dan jerayawara keusahawanan di beberapa bahagian dan daerah di Sarawak.

Selain itu, Sarawak Entrepreneur Development Coordination Committee (SEDCC) yang telah ditubuhkan akan menyelaras semua program, projek dan aktiviti pembangunan keusahawanan yang dirancang oleh agensi-agensi Persekutuan dan Negeri bagi mengurangkan pertindihan pelaksanaan.

Jelas beliau, SEDCC juga sedang dalam proses menyediakan Direktori dan Portal Iinteraktif Pembangunan Usahawan Negeri Sarawak yang berfungsi sebagai rujukan tentang program pembangunan kapasiti dan bantuan-bantuan lain yang ditawarkan oleh agensi-agensi kerajaan kepada para usahawan.

Sementara portal interaktif yang dibangunkan akan berfungsi sebagai platform untuk para usahawan memohon dan mendapat maklumat mengenai program-program bantuan yang ditawarkan oleh agensi-agensi yang terlibat.

Beliau turut memaklumkan inisiatif baharu MIED, iaitu pewujudan Sarawak Product Pavillion (SPP) di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur yang dibuka pada Februari tahun ini sebagai gerbang bagi memperluas pasaran produk khusus Sarawak di Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, sejak beroperasi, para usahawan Sarawak telah menyambut baik inisiatif kementerian tersebut yang telah mencatatkan penambahan bilangan usahawan setiap hari dengan lebih 200 produk seperti produk makanan kering dan basah, produk kesihatan dan kecantikan, produk seni kraftangan dan sebagainya ditawarkan di SPP.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article