Kampung Salak yang terletak 26 kilometer dari Bandaraya Kuching dan hanya dapat dihubungi melalui pengangkutan sungai dianggap bertuah setelah dipilih sebagai lokasi pertama Program PANDei 2018.
Lebih kurang 30 orang penduduk kampung Salak telah menyertai Program PANDei anjuran Pustaka Negeri Sarawak dengan kerjasama Jabatan Ketua Menteri yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Salak pada 17 Julai 2018.
Program PANDei singkatan perkataan daripada (People Accessible Network For Dgital Empowerment and Inclusivity) diadakan bertujuan untuk memastikan semua penduduk di Sarawak dilengkapi dengan kemahiran literasi digital (literasi komputer).
Literasi digital juga merujuk kepada keupayaan, mengenal pasti, mencari, memahami, menilai dan menganalisis serta menggunakan maklumat melalui teknologi digital.
Program julung kali diadakan tersebut juga memberi kesempatan kepada penduduk kampung memahami lebih jelas tentang literasi digital dan apa yang boleh dilakukan melaluinya dengan pembentangan topik literasi digital oleh Pegawai Pustaka Negeri Sarawak, Encik Edison Ricket.