Nilai perdagangan Sarawak ke China mencatat RM15.8 bilion pada tahun 2017 dengan jumlah eksport Sarawak ke negara tembok besar itu mencecah RM10.1 bilion manakala jumlah import pula mencecah sebanyak RM5.7 bilion.
Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg menerangkan, kolaborasi perniagaan di antara Sarawak dengan China ketika ini meliputi produk cecair gas asli (LNG) dan produk petroleum, kelapa sawit, produk-produk kayu dan komponen elektrik, barangan perkilangan, mesin dan makanan.
Selain itu, Sarawak dan China juga telah menandatangani beberapa perjanjian persefahaman (MoU) dalam pelaburan, perdagangan dan kerjasama ekonomi antaranya dengan Yunnan Province Department of Commerce di Wilayah Fujian sejak beberapa tahun lalu bagi mengukuhkan kolaborasi perniagaan.
Yang terkini adalah kolaborasi dengan Xian LONGi Materials dengan anggaran pelaburan berjumlah RM1.06 bilion dan juga dengan Comtec Solar Systems Group Ltd dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM1.2 bilion.
Beliau memaklumkan perkara berkenaan dalam ucaptama ketika merasmikan Forum Perniagaan Sarawak-China (SCBF) 2018 di Kuching pada 6 Ogos.
Yang turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang merangkap Menteri Kewangan Kedua YB Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda E-Dagang dan Menteri Muda Keusahawanan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana YB Datuk Haji Mohd Naroden Haji Majais dan Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Jelas beliau lagi, kolaborasi di antara Sarawak dengan China bukan sahaja dalam ekonomi dan perdagangan tetapi juga termasuk dalam bidang pelancongan, kebudayaan dan pendidikan.
Kolaborasi-kolaborasi dalam bidang berkenaan termasuklah Perjanjian Bandar Raya Persahabatan di antara Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan Bandar Raya Dali, kerjasama pendidikan di antara Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan Yunnan University serta kerjasama dalam bidang sastera di antara Pustaka Negeri Sarawak dengan Yunnan Provincial Library.
Dalam pada itu, Jabatan Ketua Menteri juga telah menandatangani MoU dengan Huawei dalam membantu Sarawak dalam bidang latihan digital dan infrastruktur.
Menurut Ketua Menteri, China merupakan negara inovasi terkemuka yang telah menunjukkan bagaimana ekonomi digital mempercepat transformasi ekonomi negara tersebut.
Salah satu contoh adalah inovasi dalam pembayaran mudah alih yang kini terus menembusi sektor e-perdagangan di kalangan rakyat negara berkenaan.
Justeru, beliau percaya banyak peluang yang perlu dipelajari oleh Sarawak daripada China dalam mentransformasi ekonomi negeri ini ke arah digital terutama dalam menanda aras atau mengadaptasi model perniagaan serupa untuk industri kecil dan sederhana (IKS) berkembang maju dalam e-perdagangan.