- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Kanak-Kanak Istimewa Turut Mendapat Manfaat Literasi Digital

Must read

Kanak-kanak golongan istimewa tidak terkecuali daripada mengikuti program PANDEi (People Accessible Network for Digital Empowerment and Inclusivity) yang dianjurkan oleh Pustaka Negeri Sarawak untuk memastikan mereka turut disediakan dengan kemahiran literasi digital (literasi komputer) yang disarankan oleh kerajaan ketika ini.

Ini dapat dilihat melalui kesungguhan Pustaka Negeri yang sanggup turun padang bagi mempromosikan program PANDEi sempena berlangsungnya Kem Saringan Kesihatan Kanak-kanak Kurang Upaya (Cerebral Palsy) Siri 4 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 12 Ogos 2018.

Menurut fasilitator program PANDEi Encik Edison Ricket, Pustaka Negeri sememangnya menyokong penuh usaha kerajaan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada golongan-golongan kurang upaya ini.

Sempena program tersebut, Pustaka Negeri telah menawarkan salah satu pangkalan data kepada golongan kanak-kanak istimewa iaitu eBooks dimana ibu bapa akan dapat mencari buku-buku bacaan untuk anak-anak mereka secara atas talian melalui aplikasi yang telah dicipta oleh Pustaka.

Selain daripada eBooks, Pustaka Negeri juga turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti program Makey Makey, Neuron, Sand Art, GearPhun dan MorPhun serta Air Block dan Magic Art untuk kanak-kanak istimewa ini.

Kesemua program yang diadakan tersebut menjurus kepada peningkatan minda kanak-kanak serta minat mereka terhadap amalan membaca, interaktif, dan juga peranan buku kearah pembacaan menyeluruh rakyat.

Menariknya juga, Pustaka Negeri turut menyediakan sudut bacaan dan perkhidmatan pendaftaran sebagai ahli Pustaka secara percuma kepada para pengunjung.

Sebanyak lapan (8) orang kakitangan Pustaka Negeri yang telah terlibat untuk menjayakan program tersebut yang berlangsung selama satu hari iaitu dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.

Setakat ini, Pustaka Negeri telah berjaya melaksanakan program PANDEi di 12 lokasi dimana mereka telah mensasarkan untuk melaksanakan program ini di 38 lokasi di seluruh Negeri Sarawak sepanjang tahun ini.

Menurut Encik Edison, pemilihan lokasi program PANDEi lebih banyak tertumpu di kawasan luar bandar kerana kebanyakan kampung-kampung di kawasan luar bandar masih tiada akses internet.

Melalui program PANDEi ini, secara tidak langsung akan dapat membantu penduduk kampung lebih memahami makna digital serta mendedahkan mereka terhadap inisiatif-inisiatif digital yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

Sebagai makluman, Pustaka Negeri Sarawak telah mendapat peruntukan sebanyak RM400 ribu setahun daripada Suruhanjaya Multimedia Sarawak (SMA) untuk melaksanakan program literasi digital dan program ini akan dilanjutkan sehingga tahun 2020.

Selain itu, sebanyak RM200 ribu telah diperuntukan kepada Pustaka Negeri untuk menyediakan Makerspace di Pustaka Negeri Sarawak, Miri dan Perpustakaan Awam Sibu Jaya.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

1 COMMENT

- Advertisement -spot_img

Latest article