- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

10,000 Langkah ke Arah Gaya Hidup Sihat

Must read

Penjawat Awam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS) digalakkan supaya menjadikan gaya hidup sihat sebagai satu budaya seharian.

Salah satu amalan atau budaya sihat yang boleh dilakukan adalah dengan mencapai sasaran 10,000 langkah sehari.

Sehubungan itu, program 10,000 Langkah telah diadakan sempena Majlis Penutupan Karnival Kesihatan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS) 2018 yang dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani pada 18 Ogos.

Acara tersebut yang turut disertai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bermula di perkarangan bangunan lama Dewan Undangan Negeri menuju ke Dewan Undangan Negeri baharu dengan jarak 3.30 kilometer atau lebih kurang 3,929 langkah.

Dalam ucapan penutupan, YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi menyeru penjawat awam negeri supaya mencapai 10,000 langkah sehari sebagai permulaan pada amalan gaya hidup sihat.

Beliau mendedahkan, statistik 2017 merekodkan sebanyak 2.36 peratus atau 344 orang penjawat awam dalam perkhidmatan awam negeri menghidap penyakit kronik seperti buah pinggang, diabetis, masalah jantung dan kanser.

Menurut beliau, biarpun peratusan tersebut hanya sekitar dua peratus, namun jumlah dari segi bilangan pesakit yang melebihi 300 orang adalah satu jumlah yang agak besar dan membimbangkan.

Tambah beliau, keadaan kesihatan yang kurang baik di kalangan panjawat awam akan turut menjejaskan produktiviti dan kualiti kerja dalam perkhidmatan awam.

Justeru, beliau menyarankan supaya penjawat awam sentiasa memastikan kesihatan mereka di tahap terbaik dengan melakukan senaman dan aktiviti sukan dan riadah yang menyihatkan fizikal dan mental.

Majlis pada hari tersebut turut menyaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri menyempurnakan penyerahan bendera kepada enam buah Rumah Sukan Jabatan Ketua Menteri yang baru ditubuhkan sebagai usaha menggalakkan penjawat awam menjalankan aktiviti sukan serta mempromosi amalan gaya hidup sihat.

Yang turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio-Ekonomi) YBhg Datu Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengarah Unit Sumber Manusia Negeri (SHRU), Jabatan Ketua Menteri YBhg Datu Wiliam Patrick Nyigor.

Karnival Kesihatan PANS 2018 dengan hashtag #KamekMokSehat merupakan usaha daripada SHRU dengan kerjasama Kelab Kakitangan Jabatan Ketua Menteri yang dianjurkan buat julung kali khusus untuk perkhidmatan awam negeri bagi meningkatkan kualiti kesihatan penjawat awam di Sarawak.

Seramai hampir 700 peserta yang terdiri daripada penjawat awam dari pelbagai agensi kerajaan di sekitar Bahagian Kuching telah menyertai karnival selama dua hari melalui pelbagai aktiviti menarik seperti ceramah kesihatan, pameran, derma darah, senamrobik dan pemeriksaan kesihatan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

1 COMMENT

- Advertisement -spot_img

Latest article