Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Agrobank telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Sarawak Agrofest 2018 di Pusat Konvensyen Penview, Kuching pada 23 Oktober 2018.
MoU yang dimeterai itu akan membentuk sebuah kerjasama diantara RECODA dan Agrobank bagi menyediakan pembiayaan kepada para pelabur dan usahawan agro dalam kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Kerjasama tersebut akan membolehkan pelabur dan usahawan agro yang berpotensi di tiga agensi pembangunan yang ditubuhkan di bawah RECODA melalui program pembiayaan khusus untuk menyertai pertanian komersial serta menggalakkan usahawan mengambil bahagian dalam pembangunan rantaian bekalan pertanian.
Agensi-agensi yang dimaksudkan ialah Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA).
MoU tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif, RECODA YBhg. Datu Haji Ismawi Bin Haji Ismuni dan Ketua Pegawai Strategik Agrobank, YBhg Encik Mohamad Taufik Mahamad Zakaria.
Untuk rekod, Agrobank adalah sebuah bank milik kerajaan di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan Diperbadankan yang telah 49 tahun beroperasi dan mempunyai rekod yang baik dalam industri perbankan pertanian, Agrobank secara aktif telah menyokong pembangunan pertanian negara dengan beroperasi di lapan (8) wilayah melalui 192 cawangan bank.