- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Pertahan dan Promosikan Warisan Masyarakat Melayu Sarawak

Must read

Adat dan cara hidup masyarakat Melayu di Sarawak yang masih diamalkan pada hari ini perlu dipertahan dan dipertontonkan kepada orang luar.

Menurut Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, biarpun zaman berubah dengan kepesatan perkembangan teknologi maklumat (IT) yang berlaku sekarang, budaya masyarakat setempat mesti dipertahan dan dipertonton kepada orang luar.

“Zaman sudah berubah, sekarang adalah zaman IT tetapi budaya dan kesenian kita mesti dipertahankan.

“Dengan zaman IT, kita mesti mempromosi bagaimana budaya dan kesenian kita hidup sejak dari mula sampai sekarang”, jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Pesta Warisan Melayu 2018 di Perkarangan Kompleks Sukan Satok, Padang SLPAS di Kuching pada malam 28 Oktober.

Bagi mengekalkan budaya dan kesenian warisan Melayu di sarawak, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk membangunkan kampung-kampung Melayu di bandar raya Kuching termasuk infrastruktur-infrastruktur yang mempunyai nilai dari segi warisan.

“Sebab itulah Kerajaan Negeri mengambil insiatif untuk membangunkan kampung-kampung Melayu, kita bangunkan infrastruktur dengan mempertahankan budaya kita.

“Kita bina tebingan di belakang Kampung Masjid dan Kampung Bintangor, dihubungi dengan jambatan dari Tebingan Kuching menjadi sebahagian daripada tempat untuk kita promosikan”, ujar beliau.

Tambah beliau, Pesta Warisan Melayu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri mengekalkan cara hidup masyarakat Melayu, khususnya di kampung-kampung sekitar bandar raya Kuching agar dapat dilihat oleh para pelancong.

Pesta tersebut yang berlangsung selama dua hari menyajikan pelbagai aktiviti antaranya Pameran Warisan dan Kebudayaan yang mempamerkan sejarah kampung warisan, koleksi artifak dan gambar-gambar lama, persembahan silat, bermukun, hadrah, tongko, tarian tradisional dan sebagainya.

Pesta Warisan Melayu 2018 yang julung kali diadakan menerusi gabungan kerjasama agensi kerajaan, badan berkanun dan komuniti setempat merupakan salah satu aktiviti Kampung Heritage di bawah komponen Old Kuching Heritage dan bakal diadakan secara tahunan bagi memupuk kesedaran dalam penjagaan warisan di negeri Sarawak.

Old Kuching Heritage adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri yang bertujuan untuk menjadikan Kuching sebagai bandar raya bersejarah bertaraf dunia serta menjadi pemangkin dalam meningkatkan sektor pelancongan.

Majlis penutupan pesta berkenaan turut dihadiri Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Perundangan, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek YB Hajah Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) YBhg Datu Dr. Sabariah Putit dan mantan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu anak Numpang.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
Previous article
Next article
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article