Sarawak menyasarkan 17.4 peratus sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang 2025.
Bagi mencapainya, kerajaan negeri telah pun melancarkan Strategi Ekonomi Digital Sarawak (2018-2022) pada tahun lepas dengan beberapa inisiatif baharu bersifat transformatif sedang giat dilaksanakan.
Beberapa institusi dan organisasi juga telah diwujudkan seperti Sarawak Multimedia Authority (SMA), Sarawak Digital Economy Corporation dan Bank Pembangunan Sarawak untuk memacu pembangunan negeri dalam ekonomi digital.
Perkara ini ditekankan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan serta Menteri Kedua Pembangunan Bandar dan Sumber Asli YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika merasmikan Seminar untuk Industri 4.0 di Kuching.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Menteri Muda Perindustrian dan Pelaburan, YB Malcom Mussen Lamoh.
Berkaitan dengan Industri 4.0 dan ekonomi digital di Sarawak, beliau berkata terdapat keperluan mendesak bagi pelbagai sektor industri di negeri ini untuk melonjak dari industri 2.0 ke arah industri 4.0.
Kerajaan negeri juga menurut beliau telah memberi penekanan kepada kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam menghasilkan modal insan yang diperlukan untuk menyokong inisiatif pembangunan negeri.
Beliau juga difahamkan bahawa Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) juga menawarkan pelbagai program berkaitan industri yang terdiri daripada program akademik dan TVET yang ditawarkan oleh PPKS, ia akan menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja masa depan.
Selain itu, PPKS turut merancang untuk menubuhkan “Industri Lab 4.0” yang berdedikasi dan Pusat Latihan Sains dan Bahan Sains di masa depan.
Terdahulu, Pengarah Eksekutif PPKS Hallman Sabri ketika menyampaikan ucapan turut menekankan bahawa sebagai penyedia latihan berdaftar dengan Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), PPKS telah terlibat dalam program khusus latihan dan bidang teknikal dan kemahiran.
Pada perkara berkaitan, PPKS telah mula memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan kakitangannya dan meningkatkan lagi kemudahan pengajaran dan pembelajaran selaras dengan keperluan industri 4.0
Beliau turut menjelaskan lanjutan daripada penganjuran seminar ini, seminar yang sama turut diadakan pada 15 November di Sibu diikuti pula dengan Simposium TVET di Kuching pada Februari 2019
Seminar sehari untuk Industri 4.0 yang bertemakan “Pemangkin Untuk Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sarawak dianjurkan bersama Sarawak Multimedia Authority, Kementerian Pembangunan Perindustian dan Usahawan Sarawak, dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak.