- Advertisement -spot_img
4,848
published news
and counting

Amalkan Gaya Hidup Sihat dengan Tidak Merokok

Must read

Penjawat awam dinasihatkan supaya mengamalkan gaya hidup sihat dengan menghentikan tabiat merokok.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani, umum mengetahui bahawa tabiat merokok boleh menyebabkan perokok malah orang di sekeliling perokok terdedah kepada penyakit tidak berjangkit atau non-communicable diseases (NCD), khususnya penyakit barah paru-paru.

Tambah beliau, penyakit tersebut semakin meningkat hari demi hari dan merupakan salah satu punca kematian utama di seluruh dunia.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Amalan Tidak Merokok untuk Warga Wisma Bapa Malaysia di Kuching pada 6 November 2018.

Jelas beliau lagi, statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2015 menganggarkan seramai 10,000 rakyat di negara ini mati setiap tahun disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan tabiat merokok.

Tinjauan kesihatan dan morbidity kebangsaan (National Health and Morbidity Survey) pada 2015 juga menunjukkan 98 peratus dalam kalangan orang dewasa berumur 18 tahun ke atas di Malaysia dilaporkan mempunyai satu daripada fakta risiko bagi NCD termasuk penjawat awam.

Kajian tersebut juga menunjukkan 23.1 peratus orang menghidapi penyakit yang berkaitan dengan tabiat merokok.

Beliau menerangkan, kajian saintifik telah membuktikan bahawa setiap batang rokok yang dinyala akan mengeluarkan lebih 4,000 bahan kimia beracun dalam asap rokok seperti bahan radioaktif polonium-201, acetone, ammonia, naphthalene, arsenic, nikotin dan lain-lain yang boleh menyebabkan penyakit kronik seperti kanser dan penyakit jantung.

Justeru, beliau menasihatkan kalangan penjawat awam yang merokok agar berhenti daripada tabiat tersebut yang boleh menjejaskan kesihatan.

YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi turut menyeru para hadirin yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam negeri yang berkhidmat di Wisma Bapa Malaysia supaya sentiasa menasihati dan menyebarkan maklumat tentang bahaya merokok kepada kaum keluarga dan rakan-rakan.

Sempena kempen berkenaan yang dianjurkan oleh Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Malaysia, beliau juga berharap agar semua kakitangan dapat memastikan Wisma Bapa Malaysia menjadi bangunan contoh untuk perkhidmatan awam yang bebas daripada asap rokok atau sifar perokok.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah dua Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio-Ekonomi dan Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan), YBhg Datu Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki dan YBhg Datu Dr. Sabariah Putit, Pemangku Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar) Abdul Rahman Sebli Senusi, Pengarah UKPN YBhg Dato Dr. Chai Khin Chung, Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dr Jamilah Hashim dan Datuk Bandar Kuching Utara YBhg Datuk Haji Abang Abdul Wahap Haji Abang Julai.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article