- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Belia Mencorak Masa Depan dan Mewarisi Kepimpinan Negeri

Must read

Bakat dan kreativiti yang dimiliki golongan belia Sarawak hari ini merupakan nilai tambah kepada sumber manusia yang akan mencorak dan menentukan masa depan negeri ini.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg yakin bahawa melihat pada bakat dan kreativiti yang dimiliki belia negeri ini, golongan tersebut mampu untuk mewarisi kepimpinan negeri pada masa akan datang.

Tambah beliau, kemampuan dan bilangan besar belia tempatan menguasai teknologi maklumat telah meyakinkan Kerajaan Negeri untuk memperkenal dan beralih kepada ekonomi digital bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi Sarawak.

Beliau turut menegaskan bahawa golongan belia yang merupakan aset amat berharga kepada masa depan negeri ialah sangat penting kepada kepimpinan negeri.

Justeru, masa depan rakyat, negeri dan negara terletak di tangan belia dan oleh sebab itulah Kerajaan Negeri dan para pemimpin sentiasa mengambil berat dan memikir masa depan golongan belia, tegas beliau.

Demikian amanat yang disampaikan oleh Ketua Menteri ketika merasmikan Hari Belia Peringkat Negeri 2018 yang telah diadakan di Stadium Tertutup Sibu pada 18 November.

Yang turut hadir ialah isteri Ketua Menteri YABhg Datin Patinnggi Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang YB Dato Sri Wong Soon Koh dan Menteri Muda Belia dan Sukan YB Datuk Snowdan Lawan.

Ketua Menteri juga memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Belia Sarawak yang berperanan untuk menyelaras kebajikan dan pembangunan belia serta menjadi platform berkesan dalam merancang, menyelaras, memantau serta menilai perkembangan dan hala tuju pembangunan belia di negeri ini.

Menurut beliau, penubuhan jawatankuasa tersebut adalah penting agar golongan belia boleh membina jati diri sebagai generasi berwibawa dan berdaya saing pada masa hadapan.

Majlis pada hari tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Belia yang disampaikan oleh Ketua Menteri kepada Ahmad Qadri Basri @ Boseri untuk Kategori Lelaki dan Dr. Lyn Ko Wei Linn (Kategori Wanita).

Manakala Kategori Persatuan pula dimenangi oleh Persatuan Belia Warisan Kenyalang dan naib johan dimenangi oleh Pertubuhan Halaqah Kemajuan Muslim Sarawak (HIKAM).

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article