- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Menekankan Nilai Integriti di Kalangan Penjawat Awam

Must read

Rakyat pada hari ini mempunyai ekspektasi yang begitu tinggi terhadap kerajaan dengan harapan agar kerajaan dapat menyelesaikan setiap masalah yang mereka hadapi.

Justeru, hal ini sudah tentu memerlukan nilai integriti yang kuat di kalangan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Menurut Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, kepimpinan Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg begitu menekankan nilai integriti termasuk di kalangan penjawat awam.

Ia bagi memastikan semua program atau projek pembangunan yang dilaksanakan oleh semua Kementerian dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau yang merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Integriti Kementerian Pemodenan Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) 2018 yang diadakan di Hotel University College Sedaya International (UCSI) pada 21 November.

Menyentuh mengenai program berkenaan, beliau mencadangkan supaya Hari Integriti MANRED diadakan di luar Kuching pada tahun hadapan bagi membolehkan semua pegawai dan penjawat awam yang berada di luar Kuching dapat hadir bagi mendengar dan mengetahui perkembangan-perkembangan terkini berhubung dengan isu integriti.

Terdahulu, Setiausaha Tetap MANRED YBhg. Datu Ik Pahon Joyik memaklumkan, Hari Integriti peringkat MANRED diadakan bertujuan untuk mengingatkan penjawat awam tentang peranan mereka dalam menjalankan tugas sebagai barisan hadapan yang sering berdepan dengan rakyat dan pelanggan dalam menyampaikan perkhidmatan kerajaan.

Beliau turut mencadangkan supaya program berkenaan dijadikan sebagai program tahunan dengan aktiviti sampingan seperti lawatan atau kajian kes agar penjawat awam lebih memahami tanggungjawab mereka.

Seramai 463 orang penjawat awam hadir memeriahkan program tersebut yang juga diisi dengan sesi ceramah tentang konsep, pengertian dan amalan baik oleh pegawai-pegawai dari Yayasan Pencegah Rasuah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article