Sejak pertama kali dianjurkan pada 2012, Majlis Agenda DBKU kini dijenamakan semula dan akan dikenali sebagai ‘Agenda Warisan Pintar Old Kuching’.
Untuk tahun ini, Agenda Warisan Pintar Old Kuching akan diadakan di Tebingan Kuching dari 25 hingga 31 Mac 2019.
Pada program tersebut, pihak penganjur, iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan mempromosikan penggunaan sepenuhnya aplikasi telefon mudah alih Sarawak Pay yang telah dibangunkan oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA) sebagai inisiatif Kerajaan dalam memacu transformasi ekonomi digital Sarawak.
Aplikasi dompet digital Sarawak Pay akan digunakan di sepanjang program yang berlangsung selama tujuh hari untuk segala urusan transaksi perniagaan di Dapur Heritage, Flea Market, Food Truck dan Expo Komuniti termasuk pendaftaran atau pembayaran untuk segala aktiviti sukan, rekreasi dan riadah.
Majlis perasmian akan dirasmikan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg pada malam 27 Mac 2019.
Majlis perasmian itu nanti akan menyaksikan pelancaran dua inisiatif baharu DBKU, iaitu Pelan Penambahbaikan Clean, Beautiful & Safe (CBS Enhancement Pan) 4.0 dan Pelancaran Radio DBKU.
Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan antaranya, Malam Kebudayaan Warisan, Ceramah Perdana, ekspo pameran, sukan dan riadah, Fun For The Family Activities dan lain-lain.
Orang ramai dijemput untuk memeriahkan Agenda Warisan Pintar Old Kuching 2019.