Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg (dua, kanan) menjawab pertanyaan media ketika sidang media khas yang diadakan di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching pada 22 Ogos 2019.
Turut kelihatan ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan (kiri), YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas (dua, kiri) dan YB Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing (kanan).
Rombakan Kabinet Negeri yang diumumkan Ketua Menteri, YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg pada 22 Ogos akan bertindak antara lain melaksanakan serta memperkukuhkan 5 bidang utama seiring dengan usaha Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.
Lima (5) bidang tersebut termasuklah meningkatkan lagi aktiviti eksport dan import, merancakkan lagi industri minyak dan gas, memodenkan sektor pertanian, pembaharuan bandar dan pengangkutan dan sektor pelancongan.
Mengulas lebih lanjut, Ketua Menteri berkata bagi meningkatkan aktiviti eksport dan import kerajaan negeri akan memperkukuhkan kemudahan di semua pelabuhan di Sarawak.
Bagi merancakkan industri minyak dan gas, kerajaan negeri akan memanfaatkan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO 1958) serta penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dengan diperkukuhkan peranan untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Pembangunan sektor pertanian moden, jelas Ketua Menteri pula akan menjadi pemacu kepada pembangunan kawasan luar bandar, selain membangunkan Taman Pertanian dan pelaburan dari syarikat-syarikat
Dari segi pengangkutan pula, antara tumpuan diberikan kepada kawasan bandar susulan daripada beberapa inisiatif yang dilaksanakan sebelum ini seperti bas elektrik, hidrogen dan jaringan pengangkutan di samping perancangan pengangkutan awam seperti Autonomous Rapid Transit (ART) perlu diberikan tumpuan sewajarnya manakala bagi sektor pelancongan pula akan terus diperkukuhkan.
Rombakan kecil Kabinet Negeri kali ini menyaksikan terdapat perubahan portfolio baharu, kementerian baharu dan penamaan semula kementerian.
Ini termasuklah pelantikan Timbalan Ketua Menteri, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Menteri Kewangan Kedua bagi mengisi portfolio tersebut berikutan peletakan jawatan YB Datuk Sri Wong Soon Koh sebagai Menteri Kewangan yang berkuatkuasa 15 Ogos lalu.
Selain itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (dahulu dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang), jawatan YB Datuk Sri Wong Soon Koh sebelum ini.
Rombakan ini turut menyaksikan sebuah lagi Kementerian baharu diwujudkan iaitu Kementerian Pengangkutan yang diterajui oleh YB Datuk Lee Kim Shin dan timbalannya, YB Datuk Dr Jerip Susil.
Sementara itu, YB Datuk Sebastian Ting dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan yang baharu menggantikan YB Datuk Lee Kim Shin.
Terdapat pertukaran nama pada Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (dahulu dikenali sebagai Kementerian Infrastruktur dan Pengangkutan) yang diterajui oleh Timbalan Ketua Menteri, YB Tan Sri Datuk Amar (Dr) James Jemut Masing dan timbalannya, YB Datuk Haji Julaihi Hj Narawi.
Begitu juga dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (dahulu dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang) diterajui Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan dua timbalannya, YB Datuk Mohd Noroden Haji Majais dan YB Malcom Mussen Lamoh.
Menariknya, Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak dipecah menjadi dua Kementerian iaitu Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan diterajui oleh YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah dengan timbalannya yang baru dilantik, YB Dato Sebastian Ting Chiew Yew manakala Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, juga diterajui oleh YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah dengan timbalannya, YB Datuk Snowdan Lawan.