Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan sejumlah RM9.891 bilion untuk Belanjawan Negeri bagi tahun 2020 di mana RM6.597 bilion adalah untuk Perbelanjaan Pembangunan manakala RM3.294 bilion adalah untuk Perbelanjaan Mengurus.
Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg ketika membentangkan Belanjawan Negeri Tahun 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 4 November 2019.
Jelas beliau, belanjawan tersebut akan terus memberi tumpuan kepada enam teras strategik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi ke arah pembangunan menyeluruh, mampan dan saksama untuk segenap lapisan masyarakat.
Enam teras strategik yang dimaksudkan ialah Pembangunan Belanjawan Berpusat dan Fokus Belanjawan Luar Bandar, Memperhebat Agenda Pembangunan Negeri, Ekonomi Digital Sebagai Penyumbang Utama Transformasi Ekonomi, Pertumbuhan Ekonomi yang Didorong oleh Pelaburan, Sektor Swasta sebagai Jentera Utama Pertumbuhan Ekonomi; dan Peningkatan Sistem Penyampaian Perkhidmatan.