Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk menubuhkan sekolah antarabangsa sebagai usaha untuk meningkatkan taraf pendidikan generasi muda di samping membentuk pelajar yang berkualiti, terutama mereka yang berasal dari kumpulan B40 (dan M40 yang berpotensi untuk melanjutkan pengajian di universiti-universiti peringkat antarabangsa.
Sekolah-sekolah antarabangsa ini akan ditempatkan di Kuching, Samarahan, Sibu, Bintulu dan Miri.
Selain itu, pada masa yang sama Kerajaan Negeri juga akan menubuhkan Pusat Sains Sarawak untuk melengkapkan sistem pendidikan formal.
Ia bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dan peningkatan literasi di kalangan pelajar, belia dan masyarakat umum mengenai pentingnya Pendidikan Sains, Teknologi, Bahasa Inggeris dan Matematik (STEM).
Perkara ini diumumkan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg ketika membentangkan Belanjawan Negeri Tahun 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 4 November 2019.
Menurut beliau, peruntukan akan disediakan pada tahun hadapan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).