Bagi merealisasikan visi Sarawak untuk menjadi pengekspot makanan menjelang tahun 2030, kerajaan negeri akan memberikan tumpuan kepada pembangunan dan transformasi sektor makanan pertanian ke dalam sektor moden dan berdaya saing melalui penerapan teknologi pertanian dan teknologi pintar.
Rentetan daripada itu, Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika membentangkan Belanjawan Negeri Tahun 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 4 November 2019 telah mengumumkan peruntukan RM797 juta untuk melaksanakan pelbagai program pertanian dan projek.
Antara program dan projek utama yang akan dilaksanakan termasuklah Dana Fasilitasi Pertanian, Projek Tukun Tiruan Sarawak, Bantuan Tunai dan Peralatan untuk nelayan semasa musim landas, Penubuhan Agro Park di Sungai Sian dan Sungai Baji, Sarikei dan Sadong Jaya,Samarahan.
Selain itu, pembangunan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di Serian, Betong, Lawas, Limbang, Samarahan dan Miri, Pembangunan projek untuk tanaman makanan, perikanan dan ternakan, Pelbagai projek pengairan pertanian di bawah IRSDA dan Penubuhan Kawasan Perladangan Khinzir di Sibu, Samarahan dan Bintulu.