Mereka yang baru pulang dari luar negara dinasihatkan supaya menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin 14 hari secara sukarela
Kerajaan telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini yang telah memasuki fasa kedua.
Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara yang akan dilaksanakan pada Rabu, 18 hingga Selasa, 31 Mac 2020 meliputi:
- Larangan menyeluruh pergerakan, perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Semua rumah ibadat, restoran dan premis perniagaan diarah tutup KECUALI pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka.
- Semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat ditangguh
- Penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran
- Penutupan semua taska, tadika, sekolah kerajaan dan swasta, (harian dan asrama penuh), sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti
- Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara
- Bagi yang baru pulang dari luar negara dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (self-quarantine) selama 14 hari
- Penutupan semua premis atau pejabat kerajaan dan swasta, KECUALI perkhidmatan penting negara seperti bekalan air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak dan gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan
Tindakan drastik perlu diambil pada kadar segera untuk menyekat penularan wabak ini dengan cara menghadkan pergerakan orang ramai.
Sebarang pertanyaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan boleh hubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula pukul 12 tengah hari Selasa, 17 Mac 2020.
Seluruh rakyat Malaysia dinasihatkan supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam mengekang penularan wabak COVID-19.