Sarawak setakat Februari 2020, telah pun mempunyai seramai 94 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dengan penambahan 10 orang CeIO pada tahun ini (2020)
Seperti yang diketahui umum, kesemua CeIO yang telah mendapat pertauliahan akan dilantik menjadi ketua Unit Integriti di Kementerian, Jabatan dan Badan Berkanun Negeri.
Mereka akan bertanggungjawab dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan keberkesanan program integriti dan pemangkin kepada budaya kerja integriti, pencegahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang berlaku dalam organisasi mereka ditempatkan.
Di bawah Pekeliling Integriti Bil.2 2019, CeIO adalah ketua unit integriti di agensi sektor awam dan merujuk kepada fungsi teras di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013, CeIO bertanggungjawab memastikan tadbir urus yang terbaik dilaksanakan di agensi berkenaan.
CeIO berperanan dalam melaksanakan inisiatif bagi mengukuhkan tahap integriti di kalangan penjawat awam dengan memastikan pembudayaan, penginstitusian dan pelaksanaan integriti dalam organisasi di mana mereka ditempatkan.
Tugas CeIO juga ialah untuk menerima dan mengambil tindakan ke atas semua aduan atau maklumat mengenai salahlaku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi.
CeIO turut bertanggungjawab mengesan dan mengesahkan sesuatu perkara supaya tindakan dapat dibuat dengan adil ke atas yang dituduh dengan yang mengemukakan aduan.
Dalam hal ini, CeIO akan mengesan dan mengesahkan aduan salah laku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi serta memastikan tindakan susulan yang sewajarnya diambil, kemudian melaporkan salahlaku jenayah kepada agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab.
CeIO juga bertanggungjawab bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa dan melaksanakan fungsi urus setia Lembaga Tatatertib.
CeIO di Sarawak telah diberi latihan untuk menganggotai “flying skuad” bagi menyelaras investigasi berkenaan kes-kes disiplin.
Namun demikian, ia terpulang kepada ketua jabatan sama ada dia mahu melantik CeIO menjadi pegawai penyiasat kes-kes disiplin di jabatan mereka kerana tanggungjawab Unit Integriti dan
Ombudsman Negeri (UNION) hanya melatih semua CeIO dengan kemahiran menyiasat.
CeIO juga akan bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah National (NACP) serta membangun, melaksana dan memantau pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) dan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM).