Ketua Pegawai Eksekutif Alianza Group, Encik Roslan Razali menyampaikan ceramah kepada para usahawan Sarawak pada salah satu kursus yang dianjurkan
Metrocity Training Center (MTC), anak syarikat ALIANZA Group yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun 2015 memainkan peranan penting sebagai pusat latihan dan bimbingan usahawan di Sarawak.
Dalam usaha membantu meningkatkan kualiti produk usahawan di Sarawak, MTC kerap menganjurkan seminar, kursus dan bengkel berkaitan digital dan e-dagang menggunakan pelbagai platform digital yang sedia ada.
Selain itu, MTC juga turut membantu usahawan membangunkan produk dari segi penjenamaan dan pembungkusan, melatih usahawan membuat “business pitching” dan “elevator pitching” serta melatih mereka mengembangkan perniagaan menggunakan kaedah digital.
MTC turut mengadakan siri bengkel untuk membimbing usahawan membina jenama produk, ujian makmal produk, mencipta kod produk, dan membimbing mereka cara memohon sijil halal dan sebagainya yang berkaitan dengan produk.
MTC telah menjelajah ke seluruh Sarawak bermula dari Kuching hingga ke Limbang dengan satu tujuan iaitu mahu membawa pembaharuan kepada usahawan Sarawak daripada menjalankan perniagaan secara konvensional kepada perniagaan digital.
MTC telah menganjurkan pelbagai program usahawan digital dan e-dagang dalam bentuk seminar, bengkel dan kursus untuk usahawan Sarawak dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED), Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan (MIED), Kementerian Perdagangan dan eDagang Sarawak (MITEC) dan lain-lain agensi yang berkaitan.