Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah membentangkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri 6 Mei 2020 yang lalu.
Pelan Pemulihan ini menggariskan 6 strategi utama bagi menyokong kestabilan ekosistem keusahawanan, memulihkan operasi perniagaan usahawan dalam tempoh segera dan memastikan usahawan kekal berdaya saing dan mampan.
Ia mengandungi 30 program yang akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu jangka masa pendek (immediate measure) bermula Mei hingga Disember 2020 dan jangka masa sederhana bermula Januari 2021 hingga Mei 2021.
Sehubungan itu, dianggarkan sejumlah RM452.8 juta peruntukan memberi manfaat kepada lebih 21,847 penerima merangkumi usahawan mikro, perusahaan kecil sederhana, usahawan sosial, startup dan koperasi. Pecahan keperluan peruntukan seperti berikut:
Fasa 1: Mei – Dis 2020
– RM230.1 juta peruntukan diperlukan, di mana RM175.79 juta adalah bagi melaksanakan 6 program baharu dan 10 program sedia ada yang akan menggunakan peruntukan sedia ada MEDAC dan agensi-agensi.
– RM54.31 juta peruntukan tambahan diperlukan bagi melaksanakan 14 buah program baharu;
Fasa 2: Jan – Mei 2021
– RM222.69 juta peruntukan diperlukan merangkumi 19 program baharu dan 11 program sedia ada. Permohonan peruntukan ini telah dikemukakan oleh MEDAC dan agensi-agensi di bawahnya kepada Unit Perancang Ekonomi melalui permohonan peruntukan di bawah tempoh RMK-12.
MEDAC juga sedang bekerjasama dengan pihak MOF dalam pembangunan Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca COVID-19 (atau Short Term & Medium Term Economic Recovery Plan, “Restart”).
MEDAC merupakan ahli dalam Kumpulan Kerja SME Recovery Support dengan tumpuan kepada strategi dan inisiatif jangka pendek dan sederhana bagi memulihkan usahawan yang terjejas dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Pada 8 Mei 2020 MEDAC juga telah mengemukakan cadangan program keusahawanan Pelan Restart dengan jumlah peruntukan sebanyak RM261.21 juta.
Inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan ini adalah sejajar dengan dasar Kerajaan bagi memastikan rakyat khususnya golongan usahawan sentiasa mendapat sokongan daripada MEDAC supaya urusan perniagaan mereka dapat beroperasi seperti biasa ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di seluruh negara.